POGBA tidak beraksi lapan perlawanan. FOTO Agensi
POGBA tidak beraksi lapan perlawanan. FOTO Agensi
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata, pemain tengah Perancis, Paul Pogba mengambil masa panjang untuk memulihkan kecergasan dan merampas kembali tempat dalam pasukan selepas lama berehat akibat kecederaan.

Pogba yang masa depan bersama kelab menimbulkan spekulasi masih lagi dalam proses pemulihan buku lali sekali gus hanya tampil dalam lapan perlawanan musim ini. Kali terakhir dia beraksi ketika United menewaskan Newcastle United 4-1 pada Boxing Day.

"Paul tahu dia perlu bekerja keras untuk kembali mencapai tahap terbaik,” kata Solskjaer kepada media British. "Dia tidak beraksi dalam tempoh lama jadi menjadi cabaran untuknya untuk kembali pulih.”

Pogba tidak menyertai United ketika rehat musim sejuk di Sepanyol tetapi Solskjaer mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu diberikan kebenaran menjalani pemulihan di tempat lain.

"Dia sudah mula berlari atas treadmill, jadi petanda positif bagi kelab,” kata pengendali dari Norway itu.

Ketika ditanya bila Pogba akan beraksi semula, dia berkata: “Sudah tentu secepat mungkin. Sebaik cergas dia boleh beraksi bersama pasukan. Saya yakin Paul sudah tak sabar beraksi bersama kami semula.”

United yang kini menduduki tangga kesembilan di Liga Perdana, ketinggalan enam mata di belakang Chelsea di tangga keempat dengan kedua-dua kelab akan bertemu awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 12:23 PM