POGBA  (tengah) bersama dua abangnya,  Florentin (kiri) dan  Mathias. FOTO Agensi
POGBA (tengah) bersama dua abangnya, Florentin (kiri) dan Mathias. FOTO Agensi
Agensi

PAUL Pogba lebih berminat meninggalkan Manchester United demi mencapai cita-cita beraksi di Liga Juara-Juara, menurut abangnya, Mathias.

Pogba menjadi tumpuan spekulasi musim ini dengan masa depannya bersama United tidak menentu sejak dia berkata mengenai cabaran baharu pada Jun lalu.

Pemenang Piala Dunia itu tidak beraksi sejak Disember lalu susulan kecederaan buku lali dan hanya tampil tujuh aksi Liga Perdana musim ini.

Pada Isnin lalu, selepas United menewaskan Chelsea 2-0, ejen Pogba, Mino Raiola mengkritik Ole Gunnar Solskjaer di media sosial dengan menegaskan pendiriannya ketika ditemu ramah talkSPORT.

Abang sulung Pogba, Mathias mendedahkan adiknya itu mahu menamatkan hubungan dengan United selepas berpindah dari Juventus dengan harga rekod kelab, £89 juta (RM489 juta).

"Setiap orang tahu Paul mahu meninggalkan Manchester United, dia mahu beraksi di Liga Juara-Juara dan memenanginya,” katanya yang berusia 29 tahun dan kini beraksi bersama kelab kerdil Sepanyol, Lorca.

"Kita semua tahu ia tak akan berlaku di United. Kami akan tunggu pada musim panas.”

Walaupun berlaku pergeseran membabitkan Pogba, Raiola menegaskan tiada sebarang isu berbangkit di antaranya dan United.

Raiola turut menyelar Gary Neville selepas pengulas Sky Sports dan bekas pemain United mencadangkan kelab tidak lagi berurusan dengan ejen itu yang turut mewakili bintang seperti Zlatan Ibrahimovic dan Matthijs de Ligt.

"Gary Neville nama besar dalam bola sepak tetapi saya terkejut pasukannya, Salford City tidak lagi berada dalam Liga Perdana,” kata Raiola said.

"Dia sepatutnya menjadi pengarah di United dan mungkin boleh meminta kerja dengan mereka. Saya tidak peduli apa diperkatakan Gary Neville."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 1:03 PM