Gosiame Sithole
Gosiame Sithole
Syah Rul Aswari Abdullah


Sepanjang bertugas di meja Global, ada satu berita luar negara yang menggemparkan dunia, tetapi rupa-rupanya palsu. Ia adalah kisah seorang wanita Afrika Selatan, Gosiame Sithole yang mendakwa melahirkan bayi kembar 10
di sebuah hospital di Afrika Selatan pada 2021.

Apa yang menariknya, kisah ini dilaporkan secara meluas di media antarabangsa. Lebih-lebih lagi, apabila berita mengenainya dilaporkan oleh agensi berita, maka lebih banyak media di seluruh dunia yang memaparkan kisah ini.

Tidak pasti bagaimana kisah ini tular. Sedangkan agensi berita amat berhati-hati dalam melaporkan mana-mana perkara. Pada pendapat penulis - mungkin pada masa itu - kebanyakan editor media lebih percayakan sesuatu berita apabila ia sudah dilaporkan oleh agensi berita.

Jadi apa sebenarnya kisah Gosiame Sithole ini? Ia bermula apabila Sithole mendakwa melahirkan bayi kembar 10 di Hospital Akademik Steve Biko, Pretoria, Afrika Selatan. Dengan pantas, ia menjadi tajuk berita memandangkan perkara itu adalah satu 'rekod dunia' baharu membabitkan bilangan bayi dilahirkan oleh seorang ibu selepas satu tempoh kehamilan.

Lebih membuatkan orang ramai percaya, berita itu dipaparkan dengan gambar Sithole dalam keadaan perutnya yang besar, di samping suaminya, Tobega Tsosetsi.

Independent Online (IOL), kumpulan media yang memiliki Pretoria News menjadi media pertama melaporkan kisah itu. Biarpun ramai yang mula sangsi dengan berita itu, namun media terbabit pada masa itu - mempertahankan laporan berkenaan.

Ketika itu, kisah pasangan berkenaan sudah menjadi tajuk utama di seluruh dunia. Namun, satu perkara yang menimbulkan curiga adalah hanya ada gambar memaparkan wanita ini sarat mengandung, namun tiada satu pun laporan yang memaparkan gambar kembar 10 itu.

Ramai yang mula sangsi akan dakwaan wanita berkenaan. Apatah lagi hospital di mana Sithole mendakwa dia melahirkan kembar berkenaan menafikan mempunyai rekod wanita melahirkan kembar 10.

Laporan berita seterusnya menyatakan bahawa Sithole yang ketika itu berusia 37 tahun mendakwa dia dilarang daripada berjumpa dengan bayinya, dipaksa untuk menjalani penilaian psikiatri dan mengatakan privasinya dicabuli oleh pegawai hospital, pekerja sosial serta anggota polis.

Memandangkan berita ini sudah menjadi tajuk berita dan dilaporkan media antarabangsa, ia mendorong pihak berkuasa melakukan siasatan rasmi terhadap semua dakwaan wanita berkenaan.

Jadi apa yang berlaku seterusnya? Pendakwa raya di Afrika Selatan menerusi laporan setebal 57 muka surat merumuskan bahawa 'Dakwaan Sithole melahirkan kembar 10 pada 7 Jun 2021 di Hospital Akademik Steve Biko dan tidak diberi peluang berjumpa bayinya adalah tidak berasas'. Bukti juga menunjukkan Sithole tiada hospital berkenaan dan wanita itu juga tidak hamil.

Dalam maklum balas kepada aduan yang dibuat oleh suami wanita itu, Tsotetsi, pendakwa raya mendapati semua dakwaan berkenaan adalah 'karut dan rekaan semata-mata'.

Susulan dapatan siasatan pendakwa raya ini, media melaporkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap ketua editor Pretoria News, Piet Rampedi, dan IOL. Ini kerana Rampedi dikatakan hanya bergantung pada mesej WhatsApp dalam melaporkan kisah kelahiran kembar 10 itu, dan tidak membuat pengesahan dengan hospital berkenaan.

Sehingga kini, tidak tahu mengapa Sithole mengada-adakan kisah berkenaan.

Jadi, apa pengajaran yang dapat kita simpulkan daripada kisah ini? Pertamanya, semua perkara perlu diselidik dan disahkan terlebih dahulu. Selain itu, tidak bermakna jika berita itu dilaporkan secara meluas oleh media antarabangsa, bermakna ia boleh dipercayai sepenuhnya.

Paling penting, jika sesuatu perkara itu kedengaran terlalu menarik, amat bagus, terlampau pelik atau 'ajaib', lebih besar juga kemungkinan bahawa berita itu adalah palsu.


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 6:01 AM