GOSIAME Thamara Sithole (kiri). FOTO Agensi
GOSIAME Thamara Sithole (kiri). FOTO Agensi
Agensi

Cape Town: Wanita Afrika Selatan yang mendakwa melahirkan bayi kembar 10, Gosiame Thamara Sithole, 37, dimasukkan ke wad psikiatri.

Kisah pasangan itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia ketika wanita itu mengumumkan dia sudah memecahkan rekod dunia dengan melahirkan kembar berkenaan.

Daily Star melaporkan, wanita itu dibawa ke wad psikiatri di Hospital Tembisa di Johannesburg dan diperiksa oleh pasukan perubatan, menurut media negara itu.

Satu sumber memberitahu media, pemeriksaan perubatan menunjukkan bahawa tidak ada kehamilan serta tidak ada bekas luka fizikal untuk menunjukkan pembedahan dilakukan terhadap wanita terbabit.

Peguamnya Refiloe Mokoena, berkata, Sithole kini ditahan di hospital.

"Dia (Sithole) ,menolak untuk dibawa ke Hospital Tembisa untuk penilaian psikiatri kerana dia merasakan masih waras.

"Dia kemudian mengarahkan saya untuk menemaninya ke Hospital Tembisa. Ketika kami tiba di hospital, mereka membawanya terus ke wad 14, wad psikiatri.

"Mereka memberitahu saya bahawa sekarang dia berada dalam tahanan, mereka tidak akan membenarkan peguam dan pasukan psikologi untuk bertemu (Sithole)," kata Mokoena.

Perkembangan ini adalah yang terbaharu mengenai kisah wanita itu dan teman lelakinya Tobega Tsosetsi.

Tsosetsi cuba beberapa kali mengunjungi wanita itu namun tidak mengetahui di mana kekasihnya berada dan keadaan kembar berkenaan.

"Keluarga ini memutuskan bahawa tidak ada kembar untuk Tsotetsi dan Sithole sehingga terbukti sebaliknya dan ingin meminta maaf atas segala kesulitan dan rasa malu," katanya.

Pegawai kesihatan tempatan juga mendakwa mereka tidak memiliki rekod anak kecil yang dilahirkan di mana-mana kemudahan swasta dan awam di wilayah itu.

Tetapi saudara Sithole mempertahankan bahawa wanita itu melahirkan anak yang memecahkan rekod dunia.

Selepas kisah itu menarik perhatian ramai, spekulasi mengenai kisah itu semakin meluas apabila hospital yang dikatakan tempat kelahiran bayi itu menafikan merawat Sithole.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:00 AM