SITHOLE  bersama teman lelakinya, Tsotetsi. FOTO Agensi
SITHOLE bersama teman lelakinya, Tsotetsi. FOTO Agensi
Agensi

Cape Town: Belum pun dapat mengesahkan sama ada dia melahirkan kembar 10 seperti didakwa, Gosiame Sithole mendakwa teman lelakinya cuba mengambil kesempatan hasil daripada wang sumbangan orang ramai.

Dia mendakwa bapa kepada anaknya itu ingin menjadi jutawan dan menafikan kewujudan mereka, lapor Daily Star.

Sithole berkata, tuduhan teman lelakinya, Teboho Tsotetsi bahawa, dia mereka-reka cerita mengenai kembar 10 itu membuatkannya kecewa.

Kisah pasangan itu menjadi tajuk utama di seluruh dunia ketika wanita itu mengumumkan dia sudah memecahkan rekod dunia dengan melahirkan kembar 10.

Ibu kepada Sithole mendakwa anaknya hamil tujuh cucu lelaki dan tiga perempuan secara semula jadi, tetapi melahirkannya menerusi pembedahan di hospital di Pretoria, pada 7 Jun lalu.

Tidak ada bukti foto mengenai kembar itu yang dikongsikan dan ayah Tsotetsi dikatakan belum dapat melihat cucu-cucunya.

Sithole mendakwa hal itu adalah kerana Tsotetsi mengimpikan akan menjadi kaya dengan kelahiran bayi berkenaan.

Katanya, dia dan bayi kembarnya itu bersembunyi daripada Tsotetsi yang hanya mahukan sumbangan diterima daripada orang ramai di seluruh dunia.

Wanita berusia 37 tahun itu tampil bersuara selepas lelaki itu memaklumkan belum melihat semua bayi kembar seperti yang didakwa.

Spekulasi mengenai kisah itu semakin meluas apabila hospital yang dikatakan tempat kelahiran bayi itu menafikan merawat Sithole.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:05 AM