KONFLIK tiada kesudahan rundingan Palestin-Israel hanya temui jalan buntu.
KONFLIK tiada kesudahan rundingan Palestin-Israel hanya temui jalan buntu.
Nadir Al Nuri

Kelmarin pemimpin Palestin di dalam Palestinian Authority membuat satu pengumuman yang bukan saja mengejutkan dunia Islam, malah mengejutkan sekali penjajah Israel.

Pengumuman itu menyebut bahawa mereka akan menjalin semula hubungan sekuriti dengan pihak Zionis dan duduk semula di meja rundingan dengan memberikan harapan kepada kepemimpinan Joe Biden setelah hari-hari paling hitam dalam sejarah Palestin di era Trump bakal berlalu.

Ini bukan kali pertama dunia terkejut dengan tindakan kepemimpinan Palestin.

Kali pertama ia berlaku apabila Yasser Arafat akibat hilang pengaruh, hilang sokongan dan kehabisan wang menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993 – asas kerjasama dan persekongkolan dengan musuh yang menghadiahkan majoriti tanah Palestin kepada mereka semata-mata mendapatkan kuasa sebagai sebuah 'majlis perbandaran.'

Paling malang apabila cinta terlarang di antara penjajah dan yang dijajah ini akan mengorbankan elemen paling penting dalam usaha pembebasan Palestin – rekonsiliasi dua organisasi paling besar Palestin iaitu Fatah dan Hamas yang sekian lama menjadi halangan bergerak ke hadapan.

Dukacitanya perbincangan panjang, dokumen yang ditandatangani dan janji-janji manis yang ditebarkan di dua pertemuan di Kaherah, Mesir dan Istanbul, Turki seperti abu yang ditiup angin dan ternyata bukan kitab suci.

Dengan alasan bergerak ke hadapan dan mencari penyelesaian, Ramallah terus menerus menikus.

Pada 1997 Perjanjian Hebron ditandatangani dan seterusnya Memorandum Wye pada tahun 1998 dengan tujuan membenarkan tentera penjajah masuk semula ke Khalil sebagai kesinambungan Perjanjian Oslo.

Tahun 2000 pula Presiden Amerika Syarikat (AS) Bill Clinton memanggil Presiden Palestin Yasser Arafat dan PM Israel Ehud Barak duduk di Camp David.

Sekali lagi Palestin dibahagi dan diagihkan dan syarat membenarkan 85 peratus penduduk penempatan haram Yahudi dibenarkan kekal sementara pelarian Palestin pasca Nakbah dan Naksah tidak boleh pulang, tetapi akan dibayar ganti rugi dalam bentuk wang diletakkan di atas meja.

Perjanjian itu ditolak oleh Yasser Arafat. Barangkali usaha 'damai' paling hampir berjaya ialah apa yang dikenali sebagai The Taba Talks pada 2001.

Potongan kek untuk pihak Palestin lebih besar daripada awal dan diterima oleh mereka, tetapi ketika Parti Likud yang berhaluan kanan dengan calonnya Ariel Sharon menang, ia sekali lagi gagal.

Tahun 2003 George W Bush memperkenalkan The Road Map For Peace yang didukung Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), PBB dan Russia.

Ia melantik Mahmoud Abbas sebagai PM Palestinian Authority yang pertama setelah kedua-dua Israel dan AS enggan bekerjasama lagi dengan Yasser Arafat.

Palestin diberi tugas membangunkan badan sekuriti yang mampu menghapuskan semua ancaman 'keganasan' ke atas keamanan.

Ancaman itu tak lain tak bukan ialah pejuang yang berusaha mengembalikan tanah mereka melalui operasi ketenteraan.

Israel pula antara lainnya dikehendaki menghentikan pembangunan penempatan haram dan memudahkan pergerakan di sempadan.

Tarik tali ini berterusan dan tidak pernah mencapai kata sepakat akibat beberapa isu yang menemui jalan buntu iaitu kuasa ke atas Kota Al-Quds, hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka dan isu penempatan haram penduduk Yahudi.

Israel selalu disebut memberi terlalu sedikit dan enggan mengalah. Pada waktu sama, Palestin tidak mempunyai bargaining chip melainkan ugutan memutuskan hubungan kerjasama sekuriti dan membawa isu jenayah Zionis ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Kesimpulannya? Jalan rundingan akan terus gagal dan tidak membawa apa-apa makna.

Ada rakan-rakan yang bertanya kenapa Palestin tidak berundur saja dan menyerahkan sebahagian bumi itu kepada Israel lalu kedua-duanya hidup aman dan damai sebagai jiran tetangga?

Apabila saya bertanya kenapa pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dahulu tidak menyerahkan saja Selangor kepada Jepun, Pahang kepada Portugis dan Melaka kepada British, mereka tak dapat menjawab.

Bumi ini tanah yang dijajah dan diratah dan perlu dibebaskan, bukan kek yang sedia dipotong, diagihkan dan dimakan oleh sesiapa yang berkenan.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 5:59 AM