Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: "Saya menyeru Datuk Seri Anwar Ibrahim atau mana-mana pemimpin mengelak daripada sifat yang takbur dengan menggelar diri sebagai pejuang nombor satu Palestin," kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang dikeluarkan di Ipoh, semalam yang menafikan beliau sebagai penyokong rejim Israel, sebaliknya pejuang nombor satu bagi rakyat Palestin di negara ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau sendiri pernah ditangkap oleh komando Israel pada 2010 bersama lima aktivis Malaysia ketika menaiki kapal Flotilla Rachel Corrie untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

"Tetapi saya tidak pernah menepuk dada dan menggelar diri sebagai pejuang Palestin nombor satu.

"Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelak dan langsung tidak menjawab persoalan saya iaitu sama ada beliau akan menarik balik kenyataan beliau iaitu 'menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pendirian Anwar kepada akhbar Wall Street Journal pada 2012 juga membawa kepada kecaman Duta Palestin terhadap pemimpin pembangkang itu.

"Mengelak daripada menjawab atau memberi penjelasan yang kabur sudah menjadi ciri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ramai mengenalinya.

"Anwar Ibrahim turut berbangga dalam kenyataannya di Ipoh bahawa beliau kononnya rapat dengan pemimpin Palestin terkemuka Yasser Arafat.

"Jika benar, kenapa susah sangat bagi beliau untuk menarik balik kenyataan kontroversinya yang menyokong jaminan keselamatan kepada Israel manakala yang ditindas dan dibunuh adalah rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menyeru Anwar sebagai calon Perdana Menteri PH untuk segera menyatakan sama ada beliau akan menarik balik atau tidak kenyataan terbabit.

"Rejim Israel harus mendapat mesej yang amat jelas bahawa pemimpin negara ini tidak akan berkompromi sama sekali dengan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 3:45 PM