PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden. FOTO AFP
PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden. FOTO AFP
Nadir Al-Nuri

Apakah yang akan berlaku pada tahun 2021 melibatkan Palestin? Banyak perkara yang akan berlaku, tetapi sejauh mana kesannya kepada pengembalian hak penduduk yang dijajah dilihat sangat pesimis.

Pertamanya, Amerika Syarikat (AS) sudah menerima presiden baru iaitu Presiden Joe Biden.

Biden bukanlah pencinta Palestin, tetapi sekurang-kurangnya dia bukan insan tak terkawal seperti Trump.

Banyak polisi yang melibatkan Timur Tengah akan melalui laluan diplomasi dan konsultasi penasihatnya dan tidak datang daripada satu kepala sebagaimana di zaman presiden berambut oren.

Ini tidaklah bermakna keadaan akan bertambah baik kerana polisi Amerika terhadap Palestin tidak banyak berubah sejak zaman Presiden Harry Truman.

Bagimanapun, Biden sudah berjanji melakukan beberapa 'kebaikan' antaranya untuk mengembalikan bantuan kepada pelarian melalui United Nations Relief and Work Agency for Palestine (UNRWA) dan USAID yang disekat Trump sebelum ini.

Biden juga telah beberapa kali menyatakan bantahan terhadap isu pengilhakan yang berterusan khususnya di Tebing Barat kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Ringkasnya, Biden mahu mewujudkan keadaan yang aman di rantau ini tanpa berniat menjadi pengantara yang adil di antara dua pihak yang berkonflik.

Bulan Mac Israel akan mengadakan pilihan raya yang keempat dalam masa dua tahun.

Peristiwa ini pertama kali berlaku dalam sejarah dan menampakkan betapa masyarakat Israel begitu susah disatukan di bawah satu payung politik.

Pada masa sama, ia membuktikan bahawa di satu segi, demokrasi berjalan dengan subur dan pemilihan kepemimpinan dibuat melalui pilihan raya.

Pilihan raya kali ini juga mencatatkan sejarah apabila buat pertama kali sejak negara haram ini diwujudkan pada tahun 1948, parti pengasas negara iaitu Parti Pekerja (Labour Party) tidak akan bertanding dan telah pupus daripada arena politik negara.

Ia bukan petanda yang baik untuk Palestin kerana Parti Pekerja adalah parti berhaluan kiri yang menyokong solusi dua negara dan hak untuk Palestin, sedangkan sejak beberapa tahun lalu parti yang mendapat sokongan rakyat ialah Parti Likud pimpinan Benjamin Netanyahu yang berhaluan kanan dan sangat anti-Palestin.

Pada bulan Mei pula, Palestin melalui pejabat Presiden Palestinian Authority Mahmud Abbas mewartakan akan mengadakan pilihan raya.

Pilihan raya parlimen ketiga dalam sejarah Palestin sejak pilihan raya terakhir tahun 2006 yang dimenangi Hamas adalah berita baik untuk penduduk yang sudah jemu dengan situasi ekonomi dan politik yang telah lama beku dan memburuk.

Yang menjadi tanda tanya ialah sekiranya sebuah parti menang adakah ia akan menatijahkan satu suara yang mewakili suara Palestin atau sekali lagi berlaku pertumpahan darah dan perang saudara seperti yang berlaku pada tahun 2006 setelah Hamas menang?

Soal yang lebih besar ialah kenapa Palestinian Authority tiba-tiba tunduk dan bersetuju untuk pilihan raya diadakan setelah 15 tahun berkeras - sebaik sahaja presiden AS yang baharu menang dan bersedia duduk
di kerusinya?

Apa lagi permainan yang sedang dirancang penggila kuasa dan diktator yang tidak pernah kenyang berada di puncak kuasa?

Di aspek normalisasi negara Arab dengan Israel pula pertukaran kerajaan AS mungkin merubah sedikit coraknya kecuali kalau tuntutan khusus setiap negara diraikan oleh Biden.

Kalau di zaman Trump tanpa banyak berfikir UAE misalnya melakukan normalisasi untuk perjanjian senjata, Sudan untuk mendapat pengiktirafan kuasa besar dan Maghribi untuk pengiktirafan wilayah Sahara Barat sebagai milik mereka, mungkin Arab Saudi juga akan melakukan normalisasi kalau ia menjadi tuntutan projek Bandar Mega Neom dan 'tracks for regional peace mereka dan penjajah.

Dalam meneliti perkembangan semasa di rantau ini, sama ada suka atau tidak antara sumber maklumat paling baik ialah puluhan pusat kajian di dalam Israel sendiri yang mengukur dan membaca keadaan secara profesional dan ilmiah.

Antara yang paling berpengaruh ialah The Institute for National Security Studies yang meletakkan bahaya ancaman dari Palestin sebagai rendah berbanding ancaman lain
seperti Iran.

Perpecahan pegangan politik, kepungan berterusan dan kegagalan pemimpin tertinggi di semua cabang untuk bersatu dan merancang pembebasan akan membawa Palestin semakin teruk terjerumus ke lembah penjajahan dan kemunduran.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:15 AM