RAKYAT Palestin membantah rancangan pengilhakan 30 peratus bumi Tebing Barat di Lembah Jordan, kelmarin.
RAKYAT Palestin membantah rancangan pengilhakan 30 peratus bumi Tebing Barat di Lembah Jordan, kelmarin.
Nadir Al-Nuri

BERDASARKAN tarikh moden Palestin, negara berkenaan berdepan dengan tiga peperangan besar dan dua intifada. Peperangan berlaku di Semenanjung Gaza pada 2008, 2012 dan 2014 manakala kebangkitan intifada berlaku di Tebing Barat pada 1987 dan 2000.

Kenapa perang berlaku di Gaza sedangkan intifada fokusnya di Tebing Barat? Ia kerana penduduk di Gaza 100 peratus adalah penduduk Palestin sejak 2005 yang memudahkan penjajah mengebom dan menyerang penduduk melalui jalan udara dan darat tanpa takut dengan implikasinya terhadap penduduk Yahudi.

Sedang di Tebing Barat, penduduk Palestin dan Israel duduk bersebelahan dan dalam satu masyarakat yang menyebabkan perang tidak sesuai, tetapi yang berlaku ialah kebangkitan rakyat yang dibendung sama ada oleh pihak sekuriti Palestin atau pihak sekuriti Palestinian Authority (PA) yang mengadakan koordinasi keselamatan dengan penjajah.

Ya, bunyinya pelik, tetapi itu hakikat yang berlaku selepas Perjanjian Oslo 1993. Bukan saja hampir 80 peratus tanah Palestin yang berbaki diserahkan kepada penjajah, malah pihak Palestin sendiri yang diwakili PA bersetuju menjalankan koordinasi sekuriti demi diberikan kuasa sebagai kerajaan yang sah di beberapa kawasan kecil bumi bertuah ini.

Itu masalah yang timbul apabila pemimpin 'berijtihad' dan bumi milik ummah dijadikan bahan percaturan, bukan saja oleh Palestin, malah oleh negara jiran yang diharapkan sebagai pegar, tetapi memakan padi.

Pendokong Zionis liberal seperti bekas Menteri Luar Israel, Shlomo Ben Ami yang kononnya adalah insan yang paling dekat mencapai kejayaan membawa penyelesaian kepada konflik Palestin 2001 melalui Perjanjian Taba mengakuinya sendiri dengan menyebutkan 'negara-negara jiran Palestin cuba menyelesaikan isu itu untuk kepentingan dan kedaulatan tanah masing-masing' sama ada untuk menyelamatkan Sinai, Tebing Barat atau Golan Heights yang dirampas dalam perang 1967.

Ia hakikat yang walaupun disebut oleh musuh cukup diketahui dan dirasai kesannya oleh umat sejagat. Saya masih ingat selama 51 hari perang 2014 di Gaza, beberapa kali nyawa hampir tergadai. Tetapi, betullah kata pepatah alah bisa tegal biasa kerana setelah beberapa kali roket Zionis meletup berdekatan tempat kediaman, akhirnya ia diambil peduli acuh tak acuh.

Paling dekat roket Zionis meledak di sebuah bangunan yang hanya selang satu bangunan saja daripada kediaman dan ketika itu, saya baru selesai memasak daging masak hitam dengan nasi putih untuk berbuka kerana perang berlaku di bulan Ramadan dan azan Maghrib berkumandang.

Belum sempat makanan disuapkan ke mulut satu letupan yang menggegar bangunan kami kedengaran diikuti dengan letupan kedua di lokasi sama.

Saya membuka tingkap meninjau keadaan untuk memastikan ia bukan membabitkan bangunan kami sebelum kembali menikmati juadah semula.

Esoknya kawan-kawan memaklumkan bahawa bangunan yang dibom rupanya adalah stor roket pejuang dan jika roket-roket itu meletup semalam pastinya kami semua sudah terkorban sebagai syuhada!

Begitulah keadaan hidup penduduk di sini yang acapkali berada di ambang maut.

Ia menjadi peringatan yang sentiasa menjentik hati bahawa perjalanan belum selesai dan hujungnya adalah kemenangan yang didambakan atau syahid
di medan perjuangan.

Hakikatnya 1 Julai depan kerajaan Zionis sekali lagi akan menjolok sarang tebuan melalui pelan pengilhakan 30 peratus bumi Tebing Barat yang ditukar menjadi penempatan haram pendatang Yahudi. Sekali lagi tanah milik ummah akan dijarah dan dicuri serta diiktiraf sebagai milik kuasa penjajah.

Saat itu tebuan di Palestin akan mengamuk sama ada dengan tercetus perang baru di Gaza, intifada di Tebing Barat atau kedua-duanya sekali. Yang menjadi tanda tanya ialah adakah tebuan di luar Palestin akan turut sama marah dan menyengat atau membiarkan penduduk bumi Isra' dan Mikraj ini saja mengorbankan harta dan nyawa mereka untuk pembebasannya?

Penulis rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:00 AM