Nadir Al Nuri

Tidak pernah sejak lapan tahun saya berada di Gaza, kemurungan dan rasa putus asa dalam kalangan penduduknya dirasai seteruk ini.

Kes positif Covid-19 di Gaza saja mencecah hampir 1,000 kes setiap hari dan sekitar 40 peratus penduduk yang diuji saban hari disahkan positif bermakna setiap 10 orang yang ditemui, empat daripadanya positif.

Ini termasuk isteri dan anak lelaki saya yang dijangkiti ketika ke rumah mentua yang kemudiannya disahkan positif.

Untuk mengambil keputusan menutup ekonomi dan menghalang pergerakan Gaza juga tak keruan kerana kalau ditutup maka ratusan ribu keluarga akan kelaparan di rumah tanpa sumber makanan dan bantuan.

Tiga hari berturut-turut yang lalu, Gaza mencatatkan kosong kes positif bukan kerana tidak ada yang dijangkiti, tetapi kerana kehabisan stok ujian PCR untuk menguji pesakit.

Kesakitan bertambah apabila api dalam sekam turut menjilat rakus.

Palestinian Authority memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan kerjasama dengan penjajah kerana melihat ada peluang berbincang dengan Joe Biden.

Habuannya? Husein As-Syeikh pemimpin utama Fatah memaklumkan bahawa kerajaan Israel sudah pun memindahkan wang lebih satu billion dollar yang disekat sebelum ini kepada kerajaan Palestin!

33 tahun yang lampau, penduduk Palestin juga berdepan kekecewaan sama apabila kebangkitan mereka yang bermula pada 9 Disember 1987 dimatikan melalui Perjanjian Oslo pada tahun 1993.

Mereka bangkit dalam Intifada Pertama atau dikenali sebagai Intifada Batu kerana senjata utama penduduk ketika itu ialah batu yang dilontarkan kepada penjajah yang lengkap dengan kereta kebal.

Situasi politik ketika itu sangat menarik untuk diperhatikan.

Apa yang menyebabkan intifada boleh bertahan lebih lima tahun dan bagaimana sebuah kebangkitan yang begitu bermakna berakhir dengan penyerahan sebahagian besar tanah Palestin dengan timbal balas diberikan pengiktirafan sekadar majlis perbandaran wajar memberi pengajaran.

Pada tarikh keramat 9 Disember sebuah trak milik tentera Israel melanggar van yang dinaiki penduduk Palestin di Gaza.

Empat daripadanya terkorban yang menyebabkan kemarahan penduduk meluap dan diterjemahkan melalui perarakan dan demonstrasi yang menuntut balas dendam.

Kondisi pertembungan yang tidak seimbang dan kebangkitan yang berasaskan akar umbi rakyat menyebabkan Israel sukar bertindak.

Intifada tidak dapat dipatahkan.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yasser Arafat yang berpengkalan di Tunisia cuba mencuri tumpuan rakyat.

Mereka menubuhkan United National Leadership of the Uprising untuk menyambut semangat penduduk dan menjana populariti.

Pihak Islamis yang sebelum ini bergerak atas bendera Ikhwanul Muslimin (IM) Palestin sebagai cabang IM di Mesir dan dengan kerja kebajikan serta pendidikan bertahun mereka di peringkat akar umbi juga tidak mahu kalah.

Ia melahirkan Hamas pada 14 Disember tahun yang sama.

Dalam Intifada Pertama ternyata Hamasyang menguasai hampir 40 peratus masjid di Gaza lebih dominan sementara PLO yang cuba menggerakkan sentimen rakyat dari jarak ribuan kilometer tidak berkesan.

Arafat mengambil keputusan nekad mencampakkan dirinya untuk dikenali sebagai suara sah penduduk Palestin melalui perbincangan dengan Amerika Syarikat dan persetujuan menerima Resolusi UN 181, pelan pemisahan yang memecahkan Palestin dan Israel kepada dua negara.

Tahun 1989, Hamas diharamkan dan Syeikh Ahmad Yassin ditangkap dan dihukum penjara seumur hidup.

Tahun 1990 pula Saddam Hussein menjajah Kuwait dan Arafat tersilap langkah dengan menyokong Iraq yang menyebabkan negara-negara Teluk menarik semula sokongan terhadapnya.

Bajet PLO pada tahun 1991 yang berjumlah 245 juta dolar merudum kepada 85 juta dolar pada tahun 1993.

Di pihak Israel Yitzhak Rabin menang dalam pilihan raya Israel dan bersedia membuka jalan damai bersama Palestin.

Hamas yang masih tetap enggan menjual negara terus diasak, 400 orang pimpinan dan aktivis dibuang negara ke kawasan bernama Marj Az-Zuhur di Lubnan, kawasan yang kering-kontang tanpa air dan makanan.

Tindakan itu memakan tuan apabila masyarakat antarabangsa bangkit memprotes dan sekali lagi Hamas diangkat menjadi juara.

Di sebalik kesempitan dan himpitan ini akhirnya Arafat tunduk dan mengambil keputusan meninggalkan kebangkitan bersenjata dan meninggalkan aspirasi rakyat lalu duduk di meja rundingan menandatangani Perjanjian Oslo.

Akhirnya Palestin terjual sehingga kini apabila hanya sekelumit bumi umat Islam yang berbaki di Gaza dan Kota Al-Quds boleh dipanggil sebagai Palestin. Semoga ia menjadi pengajaran buat semua.


Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:00 AM