Ikmal Amry
Ikmal Amry
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Ikmal Amry menjelaskan babak buka baju yang dijayakan bersesuaian dengan jalan cerita dan lokasi penggambaran filem bergenre seram yang kini menjadi bualan hangat, Pulau.

Ikmal atau nama sebenarnya, Mohd Zulikmal Amry Ghazali bagaimana pun menegaskan tidak terbabit adegan panas memandangkan tidak bersesuaian dengan statusnya yang sudah berkahwin.

"Sejak awal lagi saya sudah memaklumkan kepada pihak produksi berkenaan adegan panas. Apatah lagi, saya sudah berkahwin dan isteri pun sedang sarat hamil ketika penggambaran filem ini.

"Malah, jika diamati skrip untuk karakter saya memang tiada kaitan dengan adegan panas. Malah, adegan buka baju pun ketika berendam di pulau, itu saja.

"Mana mungkin saya hendak membuat babak panas. Sejujurnya saya menerima tawaran disebabkan gandingan bersama rakan yang saya kenali iaitu Alif Satar dan Amelia Henderson," kata Ikmal.

Ikmal Amry pelakon utama filem Pulau.
Ikmal Amry pelakon utama filem Pulau.

Ikmal ditemui majlis pra pelancaran dan sidang media Absolut Bazar x Festival Gaya Raya di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Tegas Ikmal, adegan tidak berbaju ini bukanlah sesuatu yang janggal buat dirinya namun harus mengikut tuntutan watak.

"Ini bukanlah kali pertama sebenarnya saya membuka baju, saya hanya menayang badan sekiranya perlu saja. Dalam filem Rasuk pun saya ada tidak berbaju kerana mengikut kehendak watak.

"Takkan setiap adegan saya nak buka baju. Contohnya, jika babak berjalan di hutan. Kalau adegan mandi di kolam renang, saya kenalah buka baju," kata Ikmal.

Bagaimanapun, Ikmal berkata, penonton boleh memilih untuk tidak menonton sekiranya kurang selesa dengan adegan panas dalam filem Pulau.

Sebelum ini, kecoh dan hangat di media sosial apabila kebanyakan netizen menyelar filem Pulau yang didakwa mengandungi unsur berbaur lucah dan tidak sesuai ditonton kerana memaparkan lelaki tidak berbaju, wanita berbikini dan babak mengghairahkan.

Filem arahan Euho itu membariskan pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Nam Ron dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:46 PM