BARU empat tahun berlakon, Sanjna harap kehadirannya diterima.
BARU empat tahun berlakon, Sanjna harap kehadirannya diterima.
Najiy Jefri


KEJAYAAN Sanjna Suri dalam pertandingan Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 membantunya mencipta nama sebagai pelakon yang semakin dikenali ramai.

Siapa sangka, impian menceburi bidang lakonan menjadi kenyataan dan kini Sanjna diberi peluang membawakan karakter utama dalam filem Mundey Kampung Dey yang menemui penonton sejak Khamis lalu.

Hampir empat tahun mencanai bakat sebagai pelakon, Sanjna mengaku belum cukup puas mencabar dirinya dalam kerjaya ini dan masih 'dahagakan' watak baharu.

"Sejak zaman kanak-kanak saya minat berlakon, tapi keluarga tidak pernah beri saya platform ini kerana bagi mereka saya perlu ada pekerjaan tetap dan serius.

"Selepas saya merealisasikan harapan keluarga apabila menjadi graduan cemerlang ketika memperoleh ijazah Sarjana Muda Farmasi di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dan kemudian bekerja selama setahun dalam bidang terbabit, saya nekad fokus untuk mengintai peluang dalam bidang lakonan," katanya.

Tambah Sanjna, dia berharap orang luar tidak hanya memandang rupa parasnya, namun melihat juga komitmen dan bakat lakonan yang dimiliki.

"Saya sangat berdedikasi untuk mengasah bakat. Saya minta orang lain jangan pandang pada rupa atau kecantikan saya semata-mata. Saya mahu terus mendalami ilmu lakonan.

"Walaupun saya dikenali sebagai ratu cantik dan model yang boleh berlakon, tapi saya tak mahu lagi dikenali dengan gelaran itu kerana ia sudah berlalu.

"Sekarang saya berusaha untuk dikenali sebagai pelakon kerana saya sudah tidak menyertai pertandingan ratu cantik dan kurang mengambil tawaran dalam bidang peragaan. Saya kini berlakon sepenuh masa.

"Saya akan menumpahkan sepenuh kecintaan dan jiwa saya untuk jayakan setiap karakter yang diberi dengan sebaik mungkin. Saya harap orang luar dapat terima kehadiran saya," katanya.

Tidak pernah mengehadkan sebarang karakter yang ingin dibawakan, Sanjna turut terbuka memegang watak sebagai wanita beragama Islam.

SANJNA sebagai watak Keeran dalam filem Mundey Kampung Dey.
SANJNA sebagai watak Keeran dalam filem Mundey Kampung Dey.

"Dalam industri hiburan Melayu, saya bermula dengan watak sampingan dalam naskhah Pengantin Satu Malam di samping Amelia Henderson dan Nazim Othman.

"Jujurnya tidak mudah nak 'menembusi' dunia hiburan tempatan kerana saya bukan Melayu. Saya selalu diberikan watak bukan Melayu iaitu watak wanita India atau wanita berdarah campuran.

"Saya nak pecahkan 'stereotaip' terbabit kerana benar-benar berminat nak berada di pasaran arus perdana. Jadi, saya tak kisah cerita itu memerlukan saya memakai tudung, melakonkan babak aksi atau watak tomboi.

"Saya 100 peratus terbuka menerima watak wanita Muslim. Saya menghormati semua agama dan saya pun membesar dalam kalangan orang Islam," katanya yang pernah berguru dengan Fauziah Ahmad Daud menerusi beberapa bengkel lakonan.

Ditanya adakah dia pernah diminta melakukan gimik atau kandungan sensasi bagi melonjakkan namanya, Sanjna tidak menafikan perkara itu, namun sentiasa berpegang kepada prinsip hidup.

AMBIL peluang, Sanjna terbuka melakonkan watak wanita Muslim.
AMBIL peluang, Sanjna terbuka melakonkan watak wanita Muslim.

"Saya perlu menjaga nama baik keluarga. Jadi, saya tak mahu mencipta sebarang 'drama' untuk dikenali. Namun, kadangkala kita tidak boleh nafikan yang 'drama' akan berlaku pada diri seseorang.

"Cuma secara peribadi, saya tidak akan cipta 'drama' untuk naikkan nama. Saya ada impian hidup sendiri, tapi andai kata tiba-tiba ada 'drama' berlaku saya tak boleh lari daripada masalah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sanjna turut berkongsi pengalamannya ketika membintangi filem Mundey Kampung Dey arahan Mansher Singh.

Kata Sanjna, filem yang mendapat dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional

Malaysia (Finas) ini satu pengalaman cukup mencabar kerana dia tidak mahir bertutur bahasa Punjabi.

"Saya memegang watak heroin bernama Keeran. Apa yang menariknya, filem ini adalah naskhah Punjabi tempatan pertama yang dihasilkan di Malaysia.

"Filem ini memaparkan kehidupan masyarakat Punjabi di Malaysia terutama di bandar dan kampung serta bagaimana mereka menjalani kehidupan dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Ketika pengarah Khabir Bhatia meminta saya menghadiri sesi uji bakat kerana dia adalah pengarah pertama mengambil saya berlakon, tentu saya ingin terus mencubanya. Tapi, tak sangka saya dapat pegang watak utama.

"Namun, cabaran utama saya hadapi adalah tidak mahir dalam bahasa Punjabi. Saya lebih fasih berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Tapi, saya cuba juga menghafal skrip diberikan dan jayakan watak dengan baik," katanya.

Tambah Sanjna, dia tidak menyangka apabila lakonannya turut mendapat maklum balas positif daripada media Pakistan.

"Ketika tayangan perdana filem ini, ada beberapa media dari Pakistan hadir ke Malaysia. Saya tak sangka lakonan saya mendapat maklum balas positif daripada media Pakistan. Mereka amat menggemari keserasian saya dan hero, Anwaar Beg Moghal.

"Saya juga teruja kerana filem ini berada dalam fasa perbincangan untuk ditayangkan di Pakistan. Saya berharap peminat menyokong karya ini dengan menonton di pawagam tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:00 AM