LANA Parrilla sebagai Val dan Harlan lakonan Liu.
LANA Parrilla sebagai Val dan Harlan lakonan Liu.
JENNIFER teraju utama Atlas.
JENNIFER teraju utama Atlas.
Syafil Syazwan Jefri


Filem baharu arahan Brad Peyton, Atlas menjadi satu karya yang mencuri perhatian saya di Netflix. Filem ini, yang ditulis oleh Leo Sardarian dan Aron Eli Coleite membawa penonton menyelami dunia futuristik di mana manusia dan AI berperang demi kelangsungan hidup.

Dalam naskhah ini, Jennifer Lopez memegang watak utama sebagai Atlas Shepherd, pakar analisis yang memiliki kisah pahit ketika zaman kanak-kanaknya.

Shepherd menyertai pasukan renjer yang diketuai Kolonel Elias Banks menuju sebuah planet di galaksi Andromeda, berusaha mempertahankan manusia dari ancaman robot AI yang semakin canggih. Jalan cerita filem ini dibina dengan teliti, memperlihatkan konflik antara manusia dan teknologi yang semakin sukar dikawal.

Plot Atlas bergerak dengan pantas, mengekalkan momentum yang memberangsangkan tanpa terlalu banyak babak yang meleret. Walaupun begitu, ada beberapa detik yang mungkin terasa sedikit berlebihan, namun ia tidak menjejaskan aliran cerita secara keseluruhan.

Kekuatan utama filem ini terletak pada penceritaannya yang mudah difahami dan terus kepada mesej penting yang ingin disampaikan.

Sebagai penulis, saya melihat bahawa filem ini lebih memberi fokus kepada watak Atlas, manakala watak lain seperti Harlan yang dilakonkan Simu Liu sebagai AI antagonis serta Kolonel Elias Banks (Sterling K Brown) dan suara AI bernama Smith (Gregory James Cohan) kurang mendapat penekanan.

Walaupun begitu, Jennifer berjaya membawa watak Atlas dengan penuh dinamik, menjadikannya tulang belakang kepada keseluruhan naratif.

BABAK menarik dalam filem Atlas.
BABAK menarik dalam filem Atlas.

Selain adegan perang yang mendebarkan, Atlas juga mengangkat tema yang lebih mendalam mengenai hubungan manusia dengan AI. Filem ini tidak sekadar menampilkan konflik fizikal, tetapi juga pergolakan emosi yang dialami oleh watak-wataknya.

Rasa bersalah, paranoid dan 'insecurity' menjadi elemen penting yang mengganggu keputusan mereka, memperlihatkan sisi manusiawi yang sangat relevan dalam era teknologi ini.

Filem ini berjaya menggambarkan bagaimana teknologi, jika tidak dikawal dengan bijak, boleh menjadi pedang bermata dua. Ia bukan sahaja merangkumi aspek aksi dan sains fiksyen, tetapi juga sentuhan emosi yang membangkitkan rasa empati penonton terhadap perjuangan watak-wataknya.

Ini adalah sesuatu yang jarang kita temui dalam filem bertemakan peperangan antara manusia dan AI.

LIU sebagai Harlan yang juga AI antagonis.
LIU sebagai Harlan yang juga AI antagonis.

Secara keseluruhan, Atlas adalah sebuah filem yang berjaya menggabungkan elemen aksi, sains fiksyen dan drama dengan baik. Ia mengingatkan kita pentingnya keseimbangan antara kemajuan teknologi dan nilai kemanusiaan.

Bagi peminat filem yang menggemari naratif yang memprovokasi pemikiran dan emosi, Atlas adalah sebuah karya yang wajar ditonton.

Jennifer berjaya membuktikan sekali lagi bahawa beliau mampu membawa watak kompleks dengan penuh kepercayaan, menjadikan Atlas sebuah pengalaman sinematik yang tidak harus dilepaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 6:30 AM