KREDIBILITI lakonan bintang terkenal Indonesia jadi pilihan utama syarikat produksi besar
KREDIBILITI lakonan bintang terkenal Indonesia jadi pilihan utama syarikat produksi besar
Sudirman Mohd Tahir


MELAKONKAN watak romantik, penonton boleh jatuh cinta dengannya. Membawakan karakter antagonis, rasa marah dan geram dibuatnya. Ketika 'merubah' diri menjadi sosok terbilang tanah air, dia 'hidup' dalam watak itu. Belum lagi jika berlakon dalam cerita romantik komedi, dia pasti menggeletek dan menghiburkan.

Begitu hebatnya lakonan Reza Rahadian, pelakon lelaki terkenal Indonesia yang berjaya meletakkan kerjayanya di puncak kegemilangan. Pembabitan lebih 10 tahun dalam dunia perfileman Indonesia berserta pelbagai kejayaan diraih sudah cukup untuk dirinya berada di kelas tersendiri.

Kredibiliti yang dibina Reza, 35, atau nama sebenarnya Reza Rahadian Matulessy membuatkan dia sering menjadi pilihan utama kebanyakan syarikat produksi besar Indonesia untuk membintangi karya mereka.

Malah, sentuhan magis Reza saat 'masuk' dalam watak diberi juga bukti betapa mahalnya bintang yang sudah empat kali memenangi anugerah pada Festival Filem Indonesia ini. Dari sederet filem lakonannya, semua pasti meninggalkan impak tersendiri.

Terbaharu, nama Reza kembali menjadi fenomena menerusi watak Aris dalam siri Layangan Putus yang ditayangkan di saluran penstriman WeTV. Realitinya, tidak hanya di Indonesia, malah ia turut tular di sini. Melakonkan watak suami yang curang terhadap isteri membuatkan Reza dibenci, dimaki dan dilontarkan dengan pelbagai kata-kata 'kurang enak' pengguna laman sosial.

Meski menyedari perkara itu bakal berlaku, Reza juga pelakon filem Habibie & Ainun mengakui mempunyai alasan tersendiri kenapa menerima tawaran daripada pihak MD Entertainment itu.

REZA pelakon yang cukup disegani di Indonesia.
REZA pelakon yang cukup disegani di Indonesia.

Reza dalam temu bual bersama Boy William di saluran YouTube Boy William berkata, watak Aris yang dilakonkan bukan watak atau karakter 'stereotype'.

"Pada waktu saya berasa teringin sangat menampilkan satu watak yang tidak 'stereotype'. Walaupun watak Aris dianggap sebagai antagonis dalam siri ini, tapi saya melakonkannya dengan cara yang halus dan tidak marah.

PENAMPILAN Reza dalam filem ‘remake’ The Invisible Guest.
PENAMPILAN Reza dalam filem ‘remake’ The Invisible Guest.

"Saya tidak mahu membawakan watak Aris ini dengan cara yang harus marah-marah, teriak-teriak dan harus pukul. Jadi, karakter ini menjadi karakter yang manipulatif kerana wataknya perlu antagonis," katanya.

Menurut Reza, selepas mendapatkan idea cerita dan gambaran mengenai karakter Aris, pelakon filem My Stupid Boss ini kemudian ingin mengembangkan karakter

berkenaan menjadi lebih jahat. Akhirnya perkara itu sukses membuat emosi penonton bercampur aduk.

"Saya perlu fikir bagaimana untuk menjadikan karakter Aris ini manipulatif. Dan itu buat saya lebih jahat. Aris itu karakternya 'seram' sangat. Dia sebenarnya penyayang, tapi di belakang sebaliknya," katanya.

Selain karakter Aris yang membuatkan emosi penonton turun naik, adegan bercium antara Reza dan Anya Geraldine yang melakonkan watak Lidya serta beberapa adegan ranjang turut menjadi bualan hangat.

Reza dalam temu bual di saluran YouTube terbabit, turut menjelaskan semua adegan itu dibuat dengan kamera 'trick'.

"Biasa saja, seperti penggambaran biasa, banyak orang. Tapi, kalau adegan seperti itu (ranjang) kru lebih terhad. Macam di Layangan Putus, setiap adegan ranjang ada 'trick' dan koreografinya.

WATAK Aris yang dilakonkan Reza dalam siri Layangan Putus.
WATAK Aris yang dilakonkan Reza dalam siri Layangan Putus.

"Semua itu koreografi. Misalnya ada babak bercium, spotnya mula dari pintu ke tempat tidur, semua dikoreografi. Termasuk misalnya jika ada adegan buka baju. Tidak ada yang buka betul-betul. Ada yang berkemban, kain atau apa," katanya.

Menyentuh soal bayaran diterima dalam siri itu, Reza berkata ia lebih dari cukup.

"Cukup. Lebih dari cukup," katanya ringkas. Dalam perkembangan lain, Reza kini terbabit dalam penggambaran filem 'remake' The Invisible Guest yang mana versi asal filem itu dari Sepanyol yang ditayangkan pada 2016.

Menerusi hantaran foto dimuat naik Reza di Instagram memaparkan dia sudah 'merubah' dirinya yang melakonkan watak peguam.

Kebanyakan komen memuji komitmen Reza selain ada yang melihat penampilan itu sama seperti aktor ternama Bollywood, Amitabh Bachan yang muncul dalam 'remake' filem sama versi India iaitu Badla pada 2019.

"Transformasi bukan bergantung hanya pada kemampuan aktor, namun banyak pihak yang turut terbabit. Salah satu bahagian terpenting adalah mekap artis," katanya.

Filem 'remake' versi Indonesia itu diterbitkan oleh Falcon Pictures dan diarahkan oleh Danial Rifki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 7:00 AM