LAKONAN hebat Sunny Pang (kiri) dalam Kill-Fist.
LAKONAN hebat Sunny Pang (kiri) dalam Kill-Fist.
Sudirman Mohd Tahir

DUA pengarah kelahiran Malaysia muncul dengan filem mereka di platform Netflix. Feisal Azizuddin, pengarah baru yang perlu diberi perhatian muncul dengan filem bertajuk Ceroboh yang mengetengahkan genre thriller. Filem berdurasi 88 minit itu dibawakan oleh Kuman Pictures.

Sementara pengarah kebanggaan kita, James Lee pula muncul dengan filem Kill-Fist yang mengetengahkan genre thriller dan aksi.

Filem Ceroboh (The Screaming Sky) memaparkan suasana dalam pasca apokalips di mana dunia dilanda makhluk asing (alien) bergelar Penunggu Langit yang mampu mengawal otak manusia. Enam sahabat berteduh di sebuah bangunan terbiar dan cuba meneruskan kehidupan.

Namun seorang daripada mereka terdedah kepada puak 'alien' dan perasaan curiga di rumah itu membawa kepada ancaman yang tersendiri. Sungguh mendebarkan dan khalayak akan terus teruja untuk melihat kesudahan yang berlaku dalam filem ini dari satu adegan ke adegan lain.

Filem ditulis oleh Chong Keng Fatt ini menampilkan barisan pelakon seperti Mia Sara Shauki, Kent Tan, Grace Ng, Nia Atasha, Syazani Fikry, Sasidaran dan Charles Roberts.

KOE Yeet (kiri) Alan Yun dalam satu babak filem Kill-Fist.
KOE Yeet (kiri) Alan Yun dalam satu babak filem Kill-Fist.

Manakala filem Kill-Fist pula mengisahkan Zhang seorang wakil penjual insurans yang berada di ambang perceraian dan kehilangan hak penjagaan anak perempuannya selain perlu menjaga bapanya yang menghidap Alzheimer. Untuk memenuhi keperluan kewangan, dia direkrut ke dalam permainan pertarungan bawah tanah.

Zhang mahir dalam permainan itu dan mengembalikan nalurinya ketika dia masih muda. Tanpa diketahui Zhang, ia adalah persediaan oleh seorang anak perempuan mangsa Zhang, Jean. Jean menyaksikan bapanya dipukul dengan kejam oleh Zhang dan kumpulan samsengnya 15 tahun lalu.

Jean mencipta sebuah permainan untuk meletakkan semua penjahat bersama-sama dan meminta mereka untuk berlawan satu sama lain sebagai bentuk hukuman yang muktamad.

Filem arahan James Lee yang juga anak kelahiran Perak ini mendapat sentuhan Tan Teck Zee dari aspek sinematografi.

Malah filem yang turut mendapat sentuhan lakon layar penulisan skrip oleh James Lee sendiri dilakonkan oleh pelakon hebat seperti Sunny Pang, Alan Yun, Koe Yeet, Mike Chuah dan Pearlly Chua.

NIA Atasha antara wajah yang menghiasi filem Ceroboh.
NIA Atasha antara wajah yang menghiasi filem Ceroboh.

Filem berdurasi 97 minit ini menyaksikan lakonan Sunny Pang yang juga pelakon aksi yang terkenal dengan peranannya dalam Headshot dan pelbagai filem aksi serantau. Filem Kill-Fist dikatakan filem aksi indie yang memberi penghormatan kepada aksi seni mempertahankan diri tahun 80-an.

Menurut James Lee dalam satu temu ramah mengenai Kill-Fist berkata, penghasilan filem itu adalah sebuah idea untuk membuat filem aksi seni mempertahankan diri yang tidak masuk akal.

"Saya memberikan tumpuan kepada watak dalam keluarga dan saya mendapat inspirasi untuk menulis dan mencipta cerita yang 'menghalalkan' aksi ini dan bukan sekadar membawa aksi hanya untuk tindakan. Bila kedua-duanya wujud, cerita itu akan memainkan peranan penting dalam filem itu.

"Halangan terbesar dalam filem ini ialah adegan pergaduhan dan aksi berjumlah kira-kira 10 babak, dengan Sunny sendiri melakonkan lapan daripadanya. Ia benar-benar penggambaran yang mencabar untuk produksi mereka. Kami berlatih dan bertemu setiap hari Sabtu untuk membuat koreografi dengan pasukannya. Ia benar-benar usaha indie," katanya.

Filem Ceroboh dan Kill-Fist diedarkan oleh MyContent Distribution. Ditubuhkan pada tahun lalu, MyContent Distribution mempunyai satu matlamat untuk meningkatkan dan memperkasa kandungan Malaysia di skrin global.

MyContent Distribution juga membantu industri pembikinan filem tempatan dalam memperkasakan nilai pengedaran antarabangsa dan pengeluaran kandungan Malaysia dengan mengedarkan kandungan tempatan pada penstriman global.

ANTARA babak menarik dalam filem Ceroboh.
ANTARA babak menarik dalam filem Ceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 6:20 AM