Tyzo Xander
Tyzo Xander
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyampai radio popular, Tyzo Xander, 48, menyarankan kepada segelintir netizen yang gemar menulis komen berbaur kecaman dan negatif agar membuka minda mereka sebagaimana pembelajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah.

Tyzo atau Tuah Zolqarnain Idris berkata, bagaimanapun di Malaysia ini masih ada ramai netizen yang hebat dan cerdik di mana mereka berfikiran terbuka, suka membaca, membuat analisis sesuatu perkara dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat betul.

"Cuma, yang saya katakan ini segelintir saja (netizen) suka komen mengecam, termasuk membuat penilaian terhadap peribadi seseorang berdasarkan penampilan dan bukan cara kerja individu itu. Ia tidak sepatutnya begitu.

"Saya membaca setiap komen ditulis netizen. Sebab itu, saya tahu apa yang orang kata mengenai saya sama ada ia benda baik atau buruk. Tapi, Alhamdulillah saya masih lagi berpegang dengan apa saya rasa dan buat betul.

"Janganlah suka 'judge' (nilai) orang berdasarkan penampilan, namun nilailah orang itu berdasarkan penyampaian dia, hasil kerja yang dilakukannya," katanya kepada Harian Metro.

Mengakui dia diterima baik oleh semua orang di IKIMfm, termasuk dua rakan setugas iaitu Suffian Amrin dan Luqman Hakim yang menerima dirinya seadanya serta keburukan dimiliki.

"Rakan-rakan di tempat kerja menerima saya seadanya dan keburukan saya. Tapi, kenapa anda (netizen) yang sekadar mendengar, anda berasakan saya jahat atau tidak elok kerana penampilan diri saya.

"Apa yang penting sekali ialah perubahan itu tidak perlu hanya sekadar penampilan, tetapi perubahan itu perlu daripada dalam diri. Nilai-nilai itu yang perlu diterapkan. Walaupun dah lali terima kecaman, namun lawan tetap lawan," katanya.

Menurut Tyzo, dalam hidup ini sejauh mana pun orang berkata buruk terhadap dirinya, kalau dia berasa ada di pihak yang betul maka wajar untuknya tampil memberitahu perkara sebenar.

"Dalam hidup ini jangan terpedaya dengan 'scam'. Ramai sangat 'scammer'. Orang menggunakan banyak cara untuk membuat diri nampak baik, meraih simpati. Malah, dalam hidup ini juga tak perlu reda semata. Kita kena usaha, kena beritahu apa yang patut diberitahu dan masyarakat kenalah menilai.

"Orang sekarang lebih terbuka, lebih memahami sebab banyak suka membaca, banyak melihat di internet dan sebagainya, tetapi hanya segelintir manusia yang masih lagi tidak KBAT untuk berfikir ke tahap itu.

"Jadi, belajarlah KBAT. Selagi anda tidak belajar KBAT atau anda bukan orang KBAT, tak semestinya KBAT ini anda kena ada semua A, tidak!. KBAT ini adalah ilmu kehidupan, logik akal yang kita tidak belajar di dalam kelas," katanya.

Hampir tiga bulan berkhidmat di IKIMfm, Tyzo pernah mendedahkan dia dikecam segelintir netizen yang menganggap dirinya tidak berilmu serta tiada manfaat hanya kerana penampilannya tidak ke arah lebih Islamik sebagaimana konsep stesen radio itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 1:20 PM