TYZO berjanji akan memberikan hasil terbaik untuk IKIMfm.
TYZO berjanji akan memberikan hasil terbaik untuk IKIMfm.
Ridzuan Abdul Rahman


Bakal menutup buku lama yang penuh warna-warni selama lapan tahun bersama Suria FM pada 9 Mac ini, Tyzo Xander kini teruja untuk memulakan perjalanan baru dalam kerjaya dan kehidupannya.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris, 48, kini memilih IKIMfm untuk meneruskan haluannya sebagai penyampai radio.

Pemenang Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 ini berkata, keputusan terbabit diambil selepas pulang dari mengerjakan umrah, baru-baru ini.

"Sebelum menunaikan umrah, saya selalu berdoa kepada Allah bahawa saya mahu menyampaikan sesuatu yang baik dan memberikan manfaat kepada pendengar menerusi kata-kata.

"Ketika di Makkah, saya asyik teringat-ingat tawaran yang diberikan. Selepas sekian lama lebih kepada hiburan, saya sekarang cuba untuk berubah menuju ke arah yang lebih baik.

"Saya akhirnya memutuskan untuk bersama IKIMfm. Walaupun mengetengahkan konsep berbeza daripada stesen radio yang pernah saya bertugas, namun dengan pengalaman 21 tahun dalam bidang ini, ia memberi keyakinan untuk saya buat lebih baik," katanya.

Tyzo akan tampil mengendalikan segmen Inspirasi Pagi IKIMfm bergandingan bersama Suffian Amrin dan Luqman Hakim dari jam 6 hingga 10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat bermula Isnin ini.

"Saya fikir tiada masalah untuk bekerja di IKIMfm kerana stesen radio itu masih ada unsur hiburan. Cuma, pendekatan mereka berbeza," katanya.

Tyzo berkata, dia merasa kehilangan sesuatu apabila dua bulan tidak berada di konti radio. Namun, positifnya dia dapat merasai kebebasan dalam hidup.

"Alhamdulillahag, agak seronok juga. Pergerakan saya lebih ke arah bidang TV dan media sosial. Saya buat podcast, mengacara program TV, terbabit program Aidilfitri dan ambil tawaran mengacara di luar.

"RTM ambil saya untuk kendalikan program Radar Skrin yang bersiaran setiap Ahad jam 11 pagi di TV2. Kerinduan saya terhadap konti radio dalam tempoh itu saya alihkan menerusi podcast di TikTok.

"Saya tak nak nama saya hilang terus dari radar. Alhamdulillah dapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Hari pertama buat dapat jumlah 3.95 juta tanda suka. Ia tak disangka dan beri momen tersendiri buat saya," katanya yang berterima kasih kepada mereka.

Selain itu, dia juga menggunakan kesempatan ini untuk memperkukuhkan namanya dalam bidang perniagaan.

"Saya dah tubuhkan Pertubuhan Kasih Tyzo. Insya-Allah saya akan bergabung dengan Putra Amaris untuk melaksanakan misi amal ini.

"Saya harap ia dapat beri manfaat kepada anak yatim, orang tua, asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan artis-artis," katanya.

Dalam masa sama, Tyzo mengharapkan pengurusan Suria FM melunaskan pembayaran gajinya yang masih berbaki.

"Untuk dua bulan sebelum ini sudah dibayar tapi ada benda yang tidak dibayar dan saya mengharapkan pihak di sana terus membayar. Saya tak nak benda itu berlarutan kerana dah lama sangat.

"Saya harapkan yang positif. Memang ada perkara yang belum dibayar. Tak pastilah kalau akan dibayar selepas kontrak saya tamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:00 AM