Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Saya bukan mangsa fesyen kerana memang saya yang menimbulkan provokasi kepada netizen dengan imej dan penampilan yang ada kelainan," kata penyanyi popular, Aina Abdul.

Aina berkata demikian ketika mengulas penampilannya dengan imej tilam yang digayakan pada minggu keempat sebagai juri tetap program realiti, Big Stage musim kelima yang turut mendapat kecaman netizen.

Menurut Aina, dia terkejut apabila membaca maklum balas daripada netizen membabitkan imej dan penampilannya itu.

"Saya tampil dengan imej itu kerana mengikut tema galau pada minggu keempat program Big Stage dan ada mesej yang mahu disampaikan kepada penonton. 

"Imej katil atau tilam itu sesuai untuk meluahkan perasaan galau itu. Saya fikir imej itu akan mendapat komen yang menghiburkan kerana pernah pakai baju yang lebih besar dari itu," katanya.

Aina berkata, ada juga komen melampau yang diterima daripada netizen membabitkan imej dan penampilannya itu.

"Selain 'face shaming', ada netizen yang mahu boikot saya kerana imej dan penampilan berbeza yang ditampilkan. Sedangkan, selain imej dan penampilan, saya juga sudah habiskan ribuan ringgit untuk menjaga wajah dan tubuh sebagai selebriti," katanya.

Terdahulu, imej dan penampilan Aina ketika menjadi juri tetap minggu keempat program Big Stage musim kelima sekali lagi mendapat kecaman teruk daripada netizen.

Menerusi tinjauan di media sosial Aina, rata-rata netizen mengkritik penampilannya dengan imej tilam yang digayakannya termasuk didakwa mengganggu pandangan penonton di belakang.

Tidak kurang juga ada netizen yang menganggap penampilan digayakan Aina itu seperti 'marshmallow'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 10:39 PM