TYZO sudah hampir tiga bulan bertugas di konti radio IKIMfm.
TYZO sudah hampir tiga bulan bertugas di konti radio IKIMfm.
Norhayati Nordin


WALAUPUN permulaan tahun 2024 dihadapi penyampai radio, Tyzo Xander, 48, dengan kisah ditamatkan kontrak kerja 'penuh kontroversi', namun kini segala luka dan duka itu semakin terubat.

Hampir tiga bulan berkhidmat bersama pasukan baharu di stesen radio IKIMfm, Tyzo berkata, dia bersyukur dan gembira kehadirannya diterima baik dua rakan setugas segmen Inspirasi Pagi iaitu Suffian Amrin dan Luqman Hakim.

"Saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri kerana konsep kerja di IKIMfm agak berbeza dengan cara kerja saya di stesen radio terdahulu. Bagaimanapun, saya tetap 'happy' (gembira) dan amat tenang bekerja.

"Walaupun sebagai penyampai radio di IKIMfm ini dikecam juga segelintir netizen, tapi saya okay kerana faham tidak semua orang boleh terima cara penyampaian kita.

"Saya tidaklah berasa cabaran apa pun ketika bersama IKIMfm ini, cuma konsep saja berbeza. Dari segi penyampaian saya masih saja seperti sebelum ini," katanya mengakui dikecam netizen kerana disifatkan tidak berilmu.

Mengulas mengenai kecaman diterima itu, Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris berkata, pembabitannya dengan IKIMfm juga dianggap tiada manfaat berikutan tidak menukar penampilan dirinya ke arah lebih Islamik.

"Pada saya, jadi manusia atau pun penyampai radio, ikutlah apa keselesaan kita. Saya bekerja untuk menyampaikan, jadi konsep itu takkanlah awak tiba-tiba nak belajar agama, terus mengubah penampilan secara drastik.

"Kena sentiasa berjubah, pakai baju Melayu selalu dan baru nampak awak macam nak belajar agama. Jadi, kadang-kadang otak segelintir orang ini (netizen) kena belajar. Cuba belajar jadi otak yang bertingkat (aras) tinggi supaya jangan awak asyik bayangkan melalui penampilan itu akan mengubah persepsi. Apa yang penting adalah cara pembawakan dan juga 'hati' kita macam mana. Sama ada nak awak nampak lembut, tapi sebenarnya jahat atau pun awak jenis kasar, namun tak sampai hati, itu lagi 'better'," katanya.

Kata bapa kepada seorang anak angkat lelaki ini, daripada dia terus berubah menjadi baik dengan selalu memakai kopiah dan songkok, tetapi masih ke kelab malam serta buat perkara kurang baik, itu memang tidak patutlah.

"Jadi, cuba buka minda sedikit (segelintir netizen). Ini zaman yang lebih terbuka. Namun, tidaklah bermaksud kita ingin membawa kepada benda-benda yang tidak baik. Bagaimanapun, hati kita memainkan peranan penting dan inilah realitinya.

"Tolong faham, sebab saya bercakap sekarang mengenai realiti dan bukan berkaitan alam ghaib," katanya yang sentiasa membaca komen-komen netizen terhadap dirinya sama ada baik dan juga buruk untuk tahu apa sebenarnya pandangan mereka.

Tyzo berkata, dia bagaimanapun amat tenang bekerja di IKIMfm ketika ini kerana dapat merasakan dirinya lebih baik dan berubah 360 darjah dalam kehidupan.

"Alhamdulillah, apa boleh dikatakan perubahan yang berlaku dalam diri saya kini boleh dianggap 360 darjah daripada pelbagai sudut. Saya juga dah bangkit semula dan 'move on', walaupun kejadian pahit itu belum dapat dilupakan lagi.

"Namun, saya percaya masa yang akan mengubati semuanya. Sekarang, saya masih perlukan masa dan Allah itu Maha Mengetahui. Kini, apa yang pasti saya lebih bersyukur dan jiwa samakin tenang," katanya.

Bantu pelajar miskin bandar

Terbabit dengan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kasih Tyzo yang baharu ditubuhkannya, ia juga menjadi pemangkin semangat buat lelaki asal Perak ini membantu golongan memerlukan dalam aktiviti kebajikan.

Tyzo berkata, sebagai permulaan pertubuhannya menyasarkan bantuan makanan percuma kepada pelajar di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Lembah Klang yang kebanyakan pelajarnya berstatus miskin bandar atau B40.

"Saya rasa terpanggil untuk membantu pelajar-pelajar terbabit yang datang daripada keluarga memerlukan kerana bantuan makanan percuma di sekolah amat penting. Apatah lagi, bila perut terisi dan tidak lapar, maka senanglah beri tumpuan belajar.

"Apapun, saya gembira usaha murni serta sikap prihatin yang nak dilakukan Pertubuhan Kasih Tyzo ini mendapat kerjasama padu daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). Semoga ia berterusan," katanya.

Mengulas kriteria pelajar, Tyzo berkata maklumat diperoleh daripada pihak sekolah dan atas sebab itu pihaknya memilih SMK berkenaan kerana sememangnya pelajar di situ ramai berstatus miskin bandar.

"Ilmu pendidikan sangat penting untuk dituntut. Harapan saya agar dengan bantuan makanan percuma itu sekurang-kurangnya memberi semangat kepada pelajar miskin bandar ini terus gigih menimba ilmu untuk berjaya di masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 6:00 AM