Tyzo Xander. FOTO Aizuddin Saad
Tyzo Xander. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Najwa Mohd Noordin


Seri Kembangan: Penyampai radio popular, Tyzo Xander mendedahkan pernah dikecam netizen berikutan penampilan dan gayanya ketika baharu menyertai pasukan penyampai radio di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm).

Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, 48, berkata, ketika itu dia baru beberapa bulan menyertai radio IKIMfm selepas 'berpisah' dengan Suria FM.

Katanya, begitupun selepas beberapa bulan situasi mula berubah dan ramai yang sudah boleh menerima kehadirannya di radio itu.

"Pada awalnya memang saya menerima kecaman daripada netizen mungkin kerana cara penyampaian saya masih berbunyi hiburan.

"Tetapi pada saya, ianya bukan hanya sekadar hiburan malah ianya untuk memberi senyuman kepada pendengar di luar sana.

"Kini komen berunsur kecaman semakin berkurangan dan saya berharap agar mereka akan menerima saya sebaik mungkin dan saya juga akan berusaha memberikan yang terbaik," kata Tyzo.

Tambahnya lagi, dia masih menjaga hubungan silaturahim atau berhubung dengan rakan lamanya di stesen radio terbabit.

"Saya masih berhubung dengan rakan setugas dahulu, tetapi tidaklah begitu kerap dan saya juga tidak melihat sebarang keperluan untuk berhubung dengan pihak atasan.

"Seperti yang sudah semua maklum saya berhenti bekerja di Suria FM bukan atas permintaan saya sendiri walaupun saya baru sahaja memenangi anugerah penyampai radio popular. 

"Tidak dinafikan perasaan rindu itu tetap ada kerana mempunyai pasangan penyampai yang baik tetapi sekarang saya juga membentuk persefahaman yang makin baik apabila bekerjasama dengan rakan penyampai baharu," katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Kasih Tyzo dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan adalah sebahagian bentuk kerjasama kedua-dua pihak dalam menyantuni pelajar sekolah menengah daripada keluarga kurang berkemampuan.

Inisiatif fasa pertama Sarapan Pagi Kasih Tyzo itu bakal dilaksanakan seawal minggu depan bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai perubahan yang dialami ketika sudah lebih dua bulan berkhidmat di radio stesen baharu pula, Tyzo berkata dia masih lagi seorang penyampai radio yang sama seperti dahulu.

"Saya tidak mengubah apa-apa, cuma pengetahuan kini semakin bertambah kerana saya lebih banyak berjumpa dengan cendekiawan dan para ilmiah di luar sana.

"Temubual juga banyak menyentuh isu kemanusiaan, keagamaan, wasiat dan lain-lain," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 8:10 PM