MEER Nash
MEER Nash
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi Meer Nash, 28, tidak terkesan atau terasa hati dengan desakan segelintir netizen yang memintanya berhenti menyanyi selepas tersingkir dalam persaingan Big Stage musim kelima (BS5), baru-baru ini.

Meer Nash atau nama sebenarnya, Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul berkata, dia ambil positif saja setiap komen-komen daripada netizen itu yang baginya sekadar luahan pendapat mereka sebagai penonton dan pendengar.

"Saya senyum membaca komen ditulis netizen yang menyuruh saya berhenti menyanyi. Mujur, tiada siapa yang saya kenal rapat minta berbuat demikian (berhenti menyanyi) hanya disebabkan tersingkir BS5.

"Biarkanlah mereka (netizen) . Saya pun tak fikir sangat dan ia memberi kesan kepada saya. Sebabnya, saya tahu apa yang saya buat dan sudah tentu akan terus berusaha lagi untuk buktikan kepada diri sendiri bahawa saya boleh.

"Netizen pula hanyalah penonton dan pendengar yang mempunyai pendapat mereka masing-masing untuk diluahkan dan saya sangat menghormatinya. Mereka (netizen) berhak memberi pandangan," katanya kepada Harian Metro.

Hanya mampu bersaing di pentas BS5 hingga minggu keempat, Meer Nash berkata, dia sudah membuat sebaik mungkin dalam persembahan dan yakin dengan pengalaman ditimba mampu membantu mengembangkan karier nyanyiannya lebih jauh lagi.

Muncul menyanyikan lagu Rapuh nyanyian asal kumpulan Nastia, Meer Nash akhirnya tersingkir BS5

dengan markah terkumpul sebanyak 45.33 markah dan tiga minggu berturut-turut menduduki tangga tiga peserta terbawah.

BS5 kali ini diterajui komposer Ajai dan penyanyi Aina Abdul sebagai juri tetap, manakala juri jemputan minggu keempat lalu ialah guru vokal, Datuk Shafinaz Selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 5:28 PM