SANDAKIAH. FOTO Arkib NSTP
SANDAKIAH. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Sandakiah Aziz kini memangku jawatan Presiden yang ditinggalkan oleh Tukiman Radion sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PKAVM yang dijadualkan tahun depan.

Pemilihan anak kepada seniman terkenal, Aziz Sattar ini dipersetujui sebulat suara oleh ahli PKAVM dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 PKAVM yang berlangsung di sebuah hotel dekat Ampang, semalam.

"Saya kini Timbalan Presiden yang memangku jawatan Presiden yang dilepaskan Tukiman dan Bendahari yang turut melepaskan jawatan minggu lalu.

"AGM ini hanya berkisarkan laporan kewangan sahaja dan tiada pemilihan di mana pemilihan akan berlangsung tahun depan.

"Untuk AGM ini kami hanya kemukakan laporan minit mesyuarat tahun lepas dan laporan kewangan setahun sampai Disember 2023," katanya ditemui selepas mesyuarat berakhir.

Menurutnya, PKAVM mengadakan Mesyuarat Agung Khas pada 31 Januari lalu dimana turut membabitkan pertukaran ahli jawatankuasa.

"Peletakan jawatan Tukiman sudah dimaklumkan kepada ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk tindakan lanjut. Saya kini ada Setiausaha Nor Lydiawati Shahibullah, Penolong Setiausaha S. Mariam, AJK lain Sophia Ibrahim, Hairee KOOL, Fadilah Mansor, Mak Wan Julia, Shah Farid Zain dan Noraini Atan. Mereka akan kekal sehingga pemilihan depan.

"Perjalanan PKAVM tidak terjejas kerana masalah yang berlaku. Ahli seumur hidup ada 156 orang manakala Ahli Bersekutu sekitar 94 orang. Jumlah semua dalam 250 orang tapi tak semua mereka aktif.

"Kami lebih utamakan kebajikan ahli. Kalau ada yang masuk hospital, PKAVM akan bagi sumbangan dan kalau meninggal ada bantuan kewangan khairat kematian," katanya.

Sandakiah berkata, setiap dua atau tiga bulan juga, mereka akan memberi bakul makanan kepada ahli yang memerlukan menerusi kerjasama dengan Angkasa dan agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 5:10 PM