Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: “Sila kotakan janji.”

Demikian pandangan Maninderjit Singh, bekas Setiausaha Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang dulunya dikenali sebagai Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) kepada barisan kepimpinan baru dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu kelmarin.

Jelas Maninderjit atau lebih dikenali sebagai Mike, segala janji itu penting untuk dilaksanakan, bukan sekadar kata-kata manis meraih undi menjelang hari pemilihan.

“Sudah tentu janji itu perlu dilaksanakan. Kalau tidak, segala janji itu hanya akan dikenang sebagai janji kosong.

“Orang pasti akan persoalkan kenapa menabur janji? Adakah untuk pemilihan ataupun cintakan sukan hoki itu sendiri,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Maninderjit sekali lagi menegaskan, tempoh 100 hari selepas perlantikan kepimpinan baru kelmarin cukup penting kerana mereka yang mengikuti rapat perkembangan sukan hoki di negara ini mahu melihat apakah perubahan yang akan dilakukan.

“Bagi saya, lima aspek perlu diberi keutamaan iaitu pentadbiran yang cekap, kedudukan kewangan stabil, penstrukturan semula kejohanan tempatan seperti Liga Hoki Malaysia, program pembangunan tersusun serta struktur pasukan kebangsaan,” katanya.

Menerusi AGM kelmarin, Datuk Seri Subahan Kamal sah dipilih selaku Presiden MHC yang baru tanpa mendapat sebarang cabaran selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak mempertahankan jawatan itu.

Kerusi timbalan presiden lelaki pula milik George Koshy manakala Dr S Shamala dipilih sebagai timbalan presiden wanita.

Bekas pemain negara, K Logan Raj, dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), jawatan baru menggantikan jawatan Setiausaha Agung sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 8:54 AM