PERSATUAN Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (EXSAS) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 secara fizikal di Anjung Melayu, Bukit Petaling. FOTO Ihsan pembaca
PERSATUAN Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (EXSAS) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 secara fizikal di Anjung Melayu, Bukit Petaling. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Lumpur: Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (EXSAS) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 secara fizikal, baru-baru ini.

AGM yang diadakan di Anjung Melayu, Bukit Petaling, di sini menyaksikan penyertaan memberangsangkan oleh bekas pelajarnya dari 1978 hingga 2010.

Mereka yang suatu ketika dulu pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Pahang hadir dari seluruh pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Presiden EXSAS, Datuk Muhammad Imran Baharuddin berkata, AGM julung kali itu menyaksikan semangat 'Hidup Berjasa' dalam kalangan ahli terutamanya ketika bersama-sama menyanyikan lagu sekolah.

"AGM kali ini menyaksikan pemilihan dan pembentukan ahli jawatankuasa bagi sesi 2024-2026. Saya dari 'batch '1978' dipilih untuk menerajui kepimpinan.

"Dengan dibantu dua Naib Presiden yang berpengalaman, empat pengurusan tertinggi, dan 10 ahli jawatankuasa yang dinamik, ahli jawatankuasa kombinasi ahli baru dan lama ini dilihat optimis dan bersedia untuk mengemudi EXSAS ke arah dimensi baharu," katanya, di sini.

Muhammad Imran berkata, beliau menyeru bekas pelajar yang masih belum mendaftarkan sebagai ahli supaya berbuat demikian menerusi laman sesawang www.exsas.com.my.

Menurutnya, peranan EXSAS bukan sekadar memastikan kebajikan ahli dan warga, tetapi juga untuk memimpin masyarakat sekeliling secara umumnya, selaras dengan motto "Hidup Berjasa."

"Saya meminta bekas pelajar dan ahli untuk turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi EXSAS dengan memperkasakan peranan Koperasi EXSAS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:08 PM