SANDAKIAH (tiga dari kiri) dan Tukiman (tengah) bersama barisan artis yang bakal menjayakan Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan di MITC Melaka pada 9 September depan.
SANDAKIAH (tiga dari kiri) dan Tukiman (tengah) bersama barisan artis yang bakal menjayakan Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan di MITC Melaka pada 9 September depan.
Ridzuan Abdul Rahman


Sudah nasib artis veteran apabila menghidap pelbagai penyakit termasuklah penyakit kronik. Hendak mengharapkan tawaran berlakon atau menyanyi pula sukar dalam kesihatan yang tidak menentu.

Inilah dilema yang dilalui mereka. Malah ada yang terpaksa menebalkan muka meminta sumbangan masyarakat bagi membiayai kos rawatan penyakit yang dideritai.

Menyedari situasi ini, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) mengambil inisiatif apabila menganjurkan acara Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 9 September ini.

Barisan artis yang bakal menjayakan persembahan penuh nostalgia itu antaranya ialah Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jefrydin, Datuk Yusni Hamid, Sophia Ibrahim, Hairee Kool dan P. Radhi.

Timbalan Presiden PKAVM yang juga Ketua Penyelaras Program, Sandakiah Azez berkata, misi mereka bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada ahli yang memerlukan.

"PKAVM menyasarkan kutipan dana RM100,000 untuk disalurkan kepada ahli yang sedang terlantar sakit, hilang punca pendapatan akibat penyakit kronik serta meringankan beban kehidupan seharian mereka akibat kurang tawaran lakonan.

"Setakat ini, seramai 20 ahli kami terlantar sakit dan sebahagian dana juga akan diperuntukkan bagi program pembangunan modal insan, memberi peluang kepada ahli untuk meningkatkan prestasi dan imej.

"Banyak program sedang diatur sepanjang tahun ini dan depan bagi manfaat ahli seramai 200 orang yang sudah berusia 50 tahun ke atas," katanya.

Hadir sama, Presiden PKAVM, Tukiman Radion, ahli jawatankuasa persatuan seperti Mak Wan Julia serta

artis yang bakal membuat persembahan iaitu Datuk Khatijah Ibrahim, Sophia Ibrahim dan Hairee Kool.

Menurutnya, PKAVM turut berhasrat membawa program amal ini menjelajah ke seluruh negara dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat membantu mereka.

"Kami mengalu-alukan sokongan daripada pihak jabatan dan agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta individu melalui penajaan platinum, emas, perak dan gangsa berharga antara RM10,000 hingga RM50,000.

"Turut ditawarkan adalah belian meja antara RM2,000 hingga RM8,000, selain ruang iklan dalam buku cenderamata, tajaan barangan atau sumbangan ikhlas lain," katanya.

Malam Amal Sepanjang Jalan Kenangan akan dinaungi oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Sandakiah berkata, penonton yang hadir akan dihiburkan dengan persembahan mengikut zaman bermula dengan era 1950-an.

"Setiap artis akan menyampaikan dua lagu dan persembahan akan dimulakan mengikut tahun iaitu 1950-an, 1960-an dan 1970-an. Nyanyian mereka ini akan diiringi 'live band'.

"Memandangkan kami ingin membawa malam amal ini ke seluruh negara, setiap lokasi akan menampilkan artis berbeza bagi memberi peluang lebih ramai artis membuat persembahan," katanya.

Antara penggiat seni yang bakal menerima bantuan hasil daripada program ini ialah Ibnor Riza, Raja Kobat, Mek Habsah, Roslan Salleh, Razali Buyong dan Kamal Pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:45 AM