Oleh Rudy Imran Shamsudin


MULA ditubuhkan pada 2009, Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) bertujuan membantu dan menjaga kebajikan penggiat seni terutama penggiat warga emas.

Begitupun dua tahun lalu, persatuan yang pernah diketuai Allahyarham Datuk Ismail Hudson selaku mantan presiden PKAVM pertama dan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, berhadapan masalah apabila bekas pemangku presiden PKAVM, Kismah Johari didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik oleh ahli persatuan.

Disebabkan itu, PKAVM didakwa sebagai persatuan tidak sah dan waktu sama, Kismah yang juga dramatis, menubuhkan persatuan lain iaitu Yayasan Artis Veteran Malaysia menyebabkan timbul kekeliruan.

Cuba menghidupkan kembali PKAVM demi menjaga kepenti­ngan hampir 300 ahlinya satu jawatankuasa baru dilantik diketuai Datuk Zulkifle Zain dengan ahli jawatan kuasa baru iaitu Azizan Mohd Arif selaku Timbalan Presiden, S Sahlan (Setiausaha), Mariani Ahmad (Penolong Setiausaha) dan Meor Ahmad Zaudi (Bendahari).

Tidak mahu persatuan itu berhadapan masalah, ahli jawatankuasa baru PKAVM mendapat­kan pengesahan me­ngenai penubuhannya yang dibatalkan baru-baru ini oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JJPM).

Zulkifle ketika ditemui di sidang media berkata, dia lega apabila JJPM mengesahkan persatuan itu masih boleh berjalan seperti biasa dengan syarat satu mesyuarat agung baru dilaksanakan dan ahli jawatankuasa baru turut dilantik semula.

"Semua yang diperlukan sudah kami laksanakan tahun lalu dan saya dilantik sebagai presiden PKAVM tanpa bertanding. Sekarang masalah paling utama sudah diselesaikan namun ada beberapa masalah besar harus ditangani sebelum persatuan dapat beroperasi seperti biasa," katanya.

Kata Zulkifli, sebaik ahli jawatankuasa baru dilantik mereka mendapati banyak masalah timbul membabitkan pengurusan PKAVM terdahulu membabitkan penyata kewangan persatuan.

"Bayangkan duit tabung persatuan hanya tinggal beberapa puluh ringgit daripada ratusan ribu ringgit dana diperoleh sebelum ini.

"Banyak kekeliruan timbul membabitkan penyata kewa­ngan termasuk pembayaran sewa dan belanja pengurusan mencecah RM100,000.

"Dengan jumlah perbelanjaan sebanyak itu, PKAVM tidak mempunyai pejabat. Jadi ke mana duit itu pergi? Setahu saya sebelum ini pejabat operasi PKAVM dibuat di kediaman bekas pemangku presiden.

"Kalau belanjanya sampai RM100,000 di mana peralatan pejabat seperti komputer dan sebagainya," katanya.

Selaku bendahari, Meor berkata, sepatutnya urusan keluar masuk wang perlu ada penyata lengkap supaya apabila dibentangkan dalam mesyuarat agung tetapi sepanjang tempoh dua tahun Kismah mengambil alih persatuan, tidak pernah sekali pun mesyuarat agung dilakukan.

"Keadaan ini sudah melanggar syarat JJPM. Apabila mesyuarat agung tidak dilakukan bermakna ahli sendiri tidak tahu apa yang berlaku dengan persatuan. Memeranjatkan apabila sebaik usaha menghidupkan kembali PKAVM dilaksanakan, akaun dana hanya tinggal tidak sampai seratus ringgit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 6:02 AM