Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak mempunyai pilihan lain selain mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) disusuli Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Jumaat ini dengan menggunakan perlembagaan lama sekali gus mengikut arahan ditetapkan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman (gambar).

Bekas Setiausaha Agung badan induk itu yang dulunya dikenali Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Maninderjit Singh berkata, MHC perlu berpegang kepada prinsip tidak boleh mengingkari arahan Pesuruhjaya Sukan.

Bagaimanapun jelasnya, sebelum berlangsung AGM, perjalanan EGM perlu dilakukan dengan teliti dan memerlukan ‘kawalan’ baik Setiausaha Agung ketika ini Datuk Johari Abdul Aziz.

“Setiausaha perlu pastikan semua anggota hadir pada EGM dan menerangkan bagaimana segala proses akan dilakukan.

“Beliau juga perlu melantik seorang pegawai bebas yang akan mengendalikan perjalanan pemilihan.

“Setiausaha juga bertanggungjawab menerangkan bagaimana pemilihan dijalankan. Yang penting sekali beliau kena bincangkan mengenai dua surat Pesuruhjaya Sukan yang dihantar kepada MHC.

“Selepas itu, pencalonan yang baru untuk semua jawatan perlu dilakukan ketika AGM kerana pencalonan sebelum ini sudah tidak boleh diambil kira.

“Kuasa untuk melaksanakan AGM hanya boleh diputuskan menerusi suara majoriti semasa EGM. Kalau gagal menepati semua syarat itu, maka AGM tidak boleh dilaksanakan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Mengikut perlembagaan lama, sekiranya jawatan Presiden diisi lelaki, maka Timbalan Presiden secara automatik milik wanita dan begitulah sebaliknya.

Perlembagaan lama juga menyaksikan dua jawatan Naib Presiden Kanan masing-masing untuk lelaki dan wanita serta 10 kerusi untuk Naib Presiden.

Jelas Maninderjit, kepentingan ketika ini adalah memastikan perjalanan AGM berjalan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:21 AM