Busana rekaan Ezuwan dipakai Melly pada konsert semalam
Busana rekaan Ezuwan dipakai Melly pada konsert semalam
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pereka fesyen tempatan, Ezuwan Ismail mendedahkan busana terakhir yang digayakan penyanyi Indonesia, Melly Goeslaw sempena konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, semalam menelan kos kira-kira RM130,000.

Ezuwan berkata, kesudian Melly menyarung persalinan ilham pereka tempatan buat julung kali sebagai satu penghargaan besar sekali gus menjadi baju termahal pernah dihasilkan untuk mana-mana selebriti setakat ini.

"Sesuai dengan karakter dan personaliti Melly, saya memilih fabrik denim sebagai input utama rekaan yang disulami dengan perincian penuh manik dan mutiara pelbagai saiz yang dijahit tangan dari atas sampai bawah.

"Lebih 70,000 manik dan mutiara digunakan hingga memakan masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan. Kalau dijual di pasaran, harganya sekitar RM130,000 dan mutiara pelbagai saiz itu juga telah dibeli dari luar negara.

"Memang mahu cipta satu kelainan yang eskklusif memandangkan ramai yang sedia maklum perincian serta jahitan yang kemas adalah 'signature' Ezuwan Ismail Kuala Lumpur.

Melly juga gembira dan tidak minta sebarang perubahan dilakukan pada mana-mana bahagian baju bila sesi 'fitting' dilakukan.

"Satu penghormatan juga bila Melly menyarung pada penutup konsert semalam yang kita tahu lagu-lagu hitsnya dipersembahkan pada segmen itu. Malah sudah semestinya jangkaan orang luar juga tinggi untuk lihat apa lagi yang boleh Ezuwan Ismail hasilkan sebab sebelum ini saya pernah menghasilkan busana ikonik untuk konsert besar Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul dan Ziana Zain," katanya.

Ditanya bagaimana Melly boleh memilihnya sebagai pereka fesyen tempatan pertama untuk menyiapkan busana sempena konsertnya di Malaysia, Ezuwan berkata, Melly tertarik selepas melihat beberapa koleksi busana yang dihasilkan.

"Ketika Melly melihat busana rekaan saya yang dipakai oleh penyanyi, Aina Abdul ketika membuat persembahan dalam sebuah majlis anugerah pada Februari lalu, kebetulan ketika itu jurusolek Epie Temerloh bertanya kepadanya sama ada dia berminat untuk guna khidmat pereka tempatan.

"Jadi dia ada meneliti baju saya di media sosial dan sehari selepas itu kami berjumpa untuk berbincang. Saya terkejut besar apabila dia beritahu berminat nak pakai baju saya untuk konsert besarnya di sini.

"Satu penghormatan bila dia terus nak pakai baju pereka tempatan. Bukan senang nak dapat kepercayaannya memandangkan sebelum ini dia belum pernah pakai mana-mana persalinan yang direka oleh pereka fesyen Malaysia. Rasa syukur sebab kita tahu namanya pun bukan calang-calang di rantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 2:17 PM