Aina Abdul menjayakan persembahan Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto Aswadi Alias.
Aina Abdul menjayakan persembahan Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto Aswadi Alias.
Minda Ranggong


Kuala Lumpur: Persalinan ekslusif berkonsepkan 'Queen of Gold' antara busana yang menarik perhatian ramai ketika digayakan penyanyi Aina Abdul di Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 (ANWAA 3.0), Sabtu lalu.

Busana seberat 40 kilogram (kg) bernilai RM120,000 dilaporkan mengambil masa 14 hari untuk disiapkan.

Perekanya, Ezuwan Ismail memberitahu, busana itu dibuat daripada bahan yang didapatkan dari luar negara.

"Fabrik emas ini memang tak dijual di sini (Malaysia). Nak tak nak, kena beli dekat luar negara termasuklah batu-batu yang memenuhi busana itu.

"Antara batu perhiasan yang digunakan ialah mutiara, berlian serta dihiasi manis dan labuci. Selepas ia siap, berat keseluruhan busana itu dianggarkan mencecah sehingga 40 kg termasuk cape," katanya.

Menurut Ezuwan lagi, pakaian itu dijahit dengan tangan dan seluruh permukaan fabrik dipenuhi batu-batu hiasan.

"Baju ini adalah jahitan tangan sepenuhnya seperti mana diminta oleh Aina sendiri. Ini bagi memastikan kualiti jahitan terjamin," tambahnya.

Ezuwan yang turut mengambil kesempatan menyaksikan persembahan Aina menzahirkan kepuasannya saat melihat penyanyi popular itu muncul di pentas bersama busana rekaannya.

"Satu kepuasan apabila pakaian yang dihasilkan selama dua minggu ini dilihat gah dipakai oleh Aina. Saya anggap ini satu penghormatan dapat bekerjasama dengan Aina dalam konsert meganya," katanya.

ANWAA 3.0 menyaksikan hampir 10,000 penonton memenuhi setiap pelusuk Axiata Arena.

Konsert itu berjaya membuktikan kehebatan vokal Aina yang tiada tandingan apabila menyanyikan 34 lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 3:29 PM