NEELOFA
NEELOFA
Najiy Jefri

PENGACARA popular, Neelofa mengakui tidak sesekali memandang rendah dengan pelawaan atau kerjasama yang ingin dibuat pereka fesyen tempatan.

Neelofa berkata, dia malah menghormati mereka apabila memberi kelonggaran kepada selebriti untuk memadankan baju yang diberi mengikut kesesuaian konsep acara.

"Ada antara majlis antarabangasa, saya kenakan persalinan daripada pereka tempatan. Bezanya kalau jenama antarabangsa, ia hanya 'sample model' sahaja yang mana ia tidak boleh diubah-ubah.

"Namun, jika mengenakan busana pereka tempatan, kita boleh sesuaikan baju yang dipakai bergantung dengan majlis apa yang ingin dihadiri.

"Jadi, janganlah kita tidak memandang terus mereka. Setiap majlis konsepnya berbeza-beza. Usah pandang rendah atau abaikan kerana kita tidak tahu bila kita perlukan khidmat mereka," katanya.

Neelofa berkata demikian susulan pendedahan pereka fesyen terkenal tempatan, Rico Rinaldi yang terkilan dengan sikap seorang pelakon yang dikatakan menolak pelawaan untuk menjadi wajah rasmi sempena kempen Hari Raya Aidilfitri 2021.

Pereka itu berkata, pelakon wanita terbabit menolak pelawaannya dengan angkuh dan menegaskan hanya mengambil tawaran untuk jenama antarabangsa sahaja.

Menurut Neelofa, walaupun menerima banyak tawaran daripada pelbagai jenama fesyen antarabangsa, dia masih mengekalkan hubungan baik dengan pereka fesyen tempatan.

"Hampir 10 tahun saya dalam industri. Saya bermula dengan diri sendiri yang mengetuk pintu butik pereka fesyen tempatan, meminjam busana, buat 'follow up' dan hantar balik.

"Sehinggalah zaman sekarang kita mempunyai penata gaya sendiri, mereka pula yang mengambil tanggungjawab itu. Jadi, hubungan dan kerjasama kita dengan pereka tempatan sudah lama berlaku.

"Secara tidak langsung, kita memahami daripada mana mereka datang, usaha mereka dalam keinginan untuk meletakkan jenama masing-masing di tahap tersendiri," katanya.

Sebelum ini, Neelofa pernah menjadi wajah bagi koleksi Rico Rinaldi Summeraya 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 2:52 PM