Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Biarpun ramai pereka baru hadir silih berganti, kedudukan Calvin Thoo masih tidak tergugat dan berada dalam kelas tersendiri.

Bukan setahun dua, tetapi sudah lebih 11 tahun pereka kecil molek itu berada dalam dunia fesyen tempatan, malah boleh dianggap senior yang berpengalaman luas.

Menariknya, meskipun aliran fesyen bertukar ganti setiap musim, pereka ini tetap tidak melupakan elemen persalinan tradisional masyarakat Melayu.

Ia bertentangan dengan kebanyakan pereka muda Melayu di negara ini yang terlalu mengejar aliran fesyen barat hingga terlupa keindahan warisan masyarakat sendiri.

Sempena penganjuran acara Fiesta Muslimah Berita Harian 2014 di ibu negara, baru-baru ini, Calvin tampil memperagakan 16 persalinan Muslimah menarik yang sarat dengan gabungan elemen busana tradisional kebaya dan baju kurung.

Menurut Calvin, persalinan tradisional Melayu seperti kebaya, baju kurung, songket dan rekaan lain banyak memberi inspirasi fesyen kepada pereka seperti dirinya untuk menampilkan koleksi yang lebih kontemporari.

"Fesyen tradisional seperti kebaya jika diberi sentuhan moden masih mampu menarik perhatian ramai, apatah lagi jika dipelbagaikan penggunaan materialnya," katanya.

Bagi menonjolkan rekaan yang dekat dengan budaya masyarakat Melayu, pereka berkenaan turut menyelitkan kepelbagaian rekaan songket menggunakan rona kontra.

Ada yang diselit pada rekaan baju dan terdapat juga songket dalam bentuk selendang hiasan penyeri gaya.

Turut ditampilkan rekaan baju moden ala peplum kembang rona kuning dengan potongan bertingkat bagi menyerlahkan keunikan cita rasa pemakainya.

Untuk koleksi baju moden pula, rekaan baju labuh yang direka mengikut susuk tubuh dengan potongan leher berbentuk V tampak ada gaya tersendiri.

Tidak ketinggalan rekaan baju ala kebaya dengan potongan kain kembang dan jaket luar yang menyerlahkan keunikan gaya yang menggabungkan elemen moden dan tradisi.

Namun, rekaan baju dengan hiasan songket di bahagian luar seperti kain ikat samping agak berbeza.

Sekali pandang menurutnya, rekaan koleksi itu tampak seperti busana moden, tetapi sebenarnya ia turut diselitkan dengan elemen tradisional.

Bagi menyerlahkan rekaan, kebanyakannya menggunakan rona yang tidak terlampau terang.

"Koleksi busana itu menyerlahkan imej sopan wanita, sesuai dengan temanya untuk fesyen Muslimah kontemporari. Ditambah pula sentuhan perincian seperti sulaman dan manik, rekaan ini mampu memberi definisi baru kepada masyarakat luar mengenai fesyen Muslimah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:00 AM