Siti bersama baju rekaan Ezuwan Ismail.
Siti bersama baju rekaan Ezuwan Ismail.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pereka fesyen, Ezuwan Ismail 'jatuh cinta' dengan cara kerja penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza sepanjang dua hari beliau menjayakan Konsert Fenomena: Siti Nurhaliza Live In Singapore 2024, baru-baru ini.

Ezuwan, 42, yang berpeluang menyiapkan dua persalinan buat Siti pada konsert itu kagum dengan pengurusan masa penyanyi berusia 45 tahun itu.

"Bersyukur kerana kami serasi dan mudah bekerjasama. Dia peramah, selalu senyum dan profesional, termasuk pihak pengurusannya. Meskipun dia figura yang terkenal, namun sikap rendah diri itulah yang sebenarnya memudahkan proses kerja.

"Saya percaya, pengalamannya yang kini hampir tiga dekad di dalam industri muzik membuatkan dia cukup matang, selain menghormati peranan setiap orang yang berada di sekeliling.

"Sebagai pereka fesyen pula, saya sedia maklum akan keterbatasannya dalam menggayakan busana. Jadi bila sesi lakaran dan 'fitting' dilakukan, saya akan lontarkan idea dan lega bila hasil kerja kita lulus di matanya.

"Bayangkan waktu saya sampai di belakang pentas konsert, dia sudah pun siap bersolek dan bertelekung sebab nak menunggu waktu solat. Kemudian barulah dia akan pakai busana sambil dibantu pembantu wanita sebelum membuat persembahan," katanya.

Menurut Ezuwan, dia juga berasa terharu apabila suami Siti iaitu Datuk Seri Khalid Jiwa atau dikenali Datuk K menghargai persalinan yang direkanya buat isteri tercinta.

"Alhamdulillah Datuk K suka dengan baju yang dihasilkan. Dia sempat beri isyarat 'thumbs up' sambil kata cantik. Iyalah, bukan senang nak dapat pujian sedemikian daripada Datuk K.

"Rasa berbaloi bila terima dedikasi seperti itu. Tambah pula mengenangkan kita sendiri bertungkus-lumus mahu beri yang terbaik demi konsert skala besar Siti di negara orang," katanya.

Berkongsi mengenai rekaannya pula, Ezuwan mengaku mencabar diri buat pertama kali apabila menyiapkan satu persalinan tradisional.

"Ada dua persalinan yang dapat sentuhan saya dan salah satunya adalah busana moden. Itu boleh dianggap sudah jadi macam 'makanan' kita. Cuma agak mencabar nak siapkan baju tradisional sebab kalau silap langkah, ia boleh jadi macam baju songket pengantin!

"Saya cubalah yang terbaik kerana nak nampak ia ada elemen glamor di samping masih mengekalkan aura kemelayuannya. Memang menguji sebab sepanjang proses menyiapkan busana itu, saya di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah Haji.

"Jadi tak dapat nak pegang depan mata. Walaupun saya dah biasa buat baju, tapi sentuhan pereka feysen itu adalah kepuasan sebenar. Kami hanya berkomuniksasi menerusi panggilan video saja, namun syukur kerana dipermudahkan.

"Untuk persalinan itu juga, saya fokus kepada perincian yang mana ia disulami dengan puluhan ribu manik-manik halus selain ada 'tassel', kerawang dan guna dawai di bahagian bahu bagi memberikan ilusi '3D' pada rekaan," katanya lagi.

Terdahulu, busana yang digayakan penyanyi nombor satu negara itu menjadi bualan di media sosial selepas Siti atau penggilan mesranya TokTi, memuat naik hantaran di akaun Instagram, semalam.

Hingga kini, perkongsian terbabit meraih hampir 30,000 tanda suka dengan lebih 300 komen warganet.

Rata-ratanya memuji persalinan indah yang digayakan Siti ketika menjayakan slot Irama Malaysia menerusi konsert yang berlangsung di Singapura itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:43 AM