RUHAINIES dan Aliff Aziz.
RUHAINIES dan Aliff Aziz.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail memberitahu kertas siasatan kes khalwat membabitkan pasangan pelakon kontroversi, Aliff Aziz dan Ruhainies sudah dihantar kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Ajib berkata, tindakan susulan terserah kepada pihak pendakwaan selepas kertas siasatan diserahkan.

"Siasatan sudah selesai dan Jawi memberi kerjasama kepada Japens bagi melengkapkan siasatan itu. Kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan, insya-Allah sebagaimana prosedur biasa itulah prosesnya.

"Terpulang pada Japens untuk buat pendakwaan selepas siasatan lengkap," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dua selebriti itu akan didakwa, Mohd Ajib berkata, ia terserah kepada pihak Japens.

"Tarikh selanjutnya tiada, tapi ia bergantung kepada Japens," kata ketika ditemui Harian Metro pada sesi rakaman program Tanyalah Ustaz: Akad 40 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, pagi ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa pihak Jawi melambatkan proses pendakwaan kes khalwat berkenaan hingga wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat jika kes itu terlepas disebabkan pasangan berkenaan berstatus selebriti.

Terdahulu, Jawi menegaskan tidak akan berkompromi dalam soal tangkapan khalwat membabitkan pasangan pelakon itu.

Aliff dan Ruhainies dilaporkan ditahan pihak berkuasa Jawi di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu. Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sekitar jam 2 petang pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:33 PM