Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
Amir Abd HamidRedzuan Muharam dan Nor Syazrina Muhamad Tahir dan Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan termasuk kesalahan melalui platform siber.

Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, siasatan lanjut akan dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

"Siasatan juga bergantung kepada aduan yang diterima dan jenis kesalahan yang dikenalpasti, jika berkaitan.

"Secara umumnya, ia akan disiasat di bawah peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559]," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas senario platform media sosial yang disalah guna individu tertentu untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral termasuk seolah-olah menggalakkan suami isteri curang selain bertukar pasangan suami isteri secara suka sama suka.

Pada masa sama, menurut beliau, siasatan juga dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan kepakaran serta bidang kuasa masing-masing selain undang-undang yang berkuat kuasa.

"Selain itu, Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan yang diadakan secara tahunan menjadi platform perbincangan berkaitan masalah berkaitan.

"Platform itu membabitkan pelbagai agensi berkepentingan seperti PDRM, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) dan SKMM," katanya.

"Ia bagi mendapatkan input berkaitan aspek perundangan, memantapkan kerjasama strategik inter agensi, menggembleng keupayaan, kemahiran dan kepakaran secara lebih sistematik.

"Ia adalah untuk tindakan terancang dan bersepadu di antara agensi-agensi, serta penyelarasan dan perkongsian maklumat jenayah syariah di media sosial bagi membantu Jawi menangani isu berpandukan bidang kuasa yang diperuntukkan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 12:10 PM