BELLA (dari kiri), Ruhainies dan Aliff. FOTO NSTP & media sosial
BELLA (dari kiri), Ruhainies dan Aliff. FOTO NSTP & media sosial
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan khalwat yang membabitkannya dan pelakon, Aliff Aziz minggu lalu.

Dalam kenyataan di Instagram itu, Ruhainies, 32, menegaskan bahawa dia sayangkan persahabatannya dengan isteri Aliff, Bella Astillah dan bersedia untuk menjernihkan keadaan.

"Saya juga ingin memohon maaf kerana membiarkan perkara ini berlarutan tanpa kenyataan dan menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan pelbagai fakta yang tidak benar dan tidak tepat.

"Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah. Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia," katanya.

Tambah Ruhainies, dia juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menjalankan siasatan dengan telus.

"Siasatan telah dijalankan oleh pihak Jawi dan saya berikan kepercayaan penuh terhadap mereka.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak Jawi di atas kerjasama, penjagaan penuh yang diberikan kepada saya semasa kejadian tersebut berlaku dan siasatan telus yang telah dibuat oleh pihak Jawi," katanya.

Ruhainies juga berharap agar kenyataan rasminya ini tidak akan dimanipulasi dan dijadikan bahan provokasi yang akan lebih mengeruhkan hubungan ketiga-tiga pihak.

"Saya berharap, kenyataan saya ini tidak akan dijadikan bahan provokasi kerana saya tidak ada niat ke arah itu, sebaliknya bersedia menjernihkan keadaan antara kami bertiga.

"Mungkin ada pihak yang akan memilih untuk tidak percaya kepada kenyataan saya. Namun, saya tak boleh memaksa sesiapa untuk percaya. Saya cuma ingin menjelaskan situasi yang berlaku dan kenyataan rasmi dari pihak saya," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Ruhainies turut berkongsi kronologi situasi yang berlaku pada malam kejadian, namun tidak menafikan apa yang berlaku salah di sisi Islam, mewujudkan syak wasangka serta menimbulkan fitnah.

"Walaupun kakak saya datang atau apa, saya mengakui kekhilafan saya di sisi Islam, kerana berada dalam situasi itu yang mana sekali gus menimbulkan syak wasangka serta fitnah.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa saya dan Aliff hanyalah kawan biasa dan bekerjasama dalam drama yang sedang kami bintangi," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penahanan pasangan pelakon selepas didakwa berkhalwat di sebuah kondominium mewah, di sini pada Jumaat minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 12:09 AM