Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Seorang isteri yang bercerai hidup atau mati tidak boleh keluar bekerja selagi masih belum tamat tempoh idah ditetapkan seperti digariskan agama.

Da'i Annas atau nama sebenarnya, Mohd Annas Khamis berkata, dalam soal idah ada juga keringanan diberikan untuk wanita (isteri) keluar bekerja dengan kadar tertentu.

"Kalau seseorang ibu (isteri) dalam tempoh edah menguruskan keluarga tanpa bantuan dari orang sekeliling, dia dibenarkan keluar bekerja dengan kadar tertentu.

"Dalam isu membabitkan penyanyi Adira Suhaimi pula, saya tak pasti sejauh mana kepentingan untuk dia keluar rumah dalam tempoh idah itu?

"Kalau sekadar untuk keluar bekerja kita perlu tengok kadar atau keperluannya itu, tak kan sampai tiada makan minum langsung?

"Mungkin ada duit atau nafkah yang diberikan untuk kelangsungan hidupnya," katanya kepada Harian Metro.

Annas berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang individu yang mempersoalkan tindakan Adira yang keluar bekerja meskipun belum habis tempoh idah selepas diceraikan bekas suami, Datuk Red pada 23 April lalu.

Mengenai soal idah lagi, kata hos program Tanyalah Ustaz di TV3 itu, tempoh edah isteri kematian suami juga berbeza dengan yang bercerai hidup.

"Tempoh idah isteri bercerai hidup adalah tiga kali suci dan isteri cerai mati pula selama empat bulan 10 hari," katanya.

Terdahulu, Adira memberitahu dia perlu keluar bekerja bagi mendapatkan sumber pendapatan untuk menyara empat anaknya walaupun masih belum habis tempoh idah.

Menerusi video yang dimuat naik di TikTok miliknya, Adira berkata, dia bukannya balu yang cerai mati dan perlu keluar bekerja untuk mencari sesuap nasi.

"Kalau saya duduk rumah, siapa yang nak bagi makan pada anak-anak. Anak yang empat orang dekat rumah siapa nak bagi makan?

"Isteri yang dalam edah selepas kematian suami pun boleh keluar jika ada urusan yang perlu diselesaikan," katanya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut menyokong kenyataan Adira itu.

Pada 23 April lalu, Adira sah bercerai talak satu dengan bekas suami, Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu.

Adira bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah edah dan mutaah daripada Datuk Red kerana memahami keadaan bekas suami yang mengalami masalah kewangan.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 7; Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:01 PM