ADIRA selepas sebutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat. FOTO Asyraf Hamzah
ADIRA selepas sebutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat. FOTO Asyraf Hamzah
Najiy Jefri

Kuang: "Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Sepanjang berada di Tanah Suci, saya selalu berdoa dan memohon dilembutkan hatinya."

Demikian kata penyanyi Adira Suhaimi mengenai pengakhiran perkahwinan yang dibina bersama Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red selama sembilan tahun berakhir dengan perceraian talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor, di sini, hari ini.

Adira ketika ditemui Harian Metro berkata, selepas melalui proses perbincangan dengan Datuk Red sebaik dia pulang dari Tanah Suci baru-baru ini, akhirnya mereka mencapai kata sepakat.

"Saya selalu ajak dia berbincang mengenai perkara ini (cerai). Tapi keputusan ini dicapai selepas saya pulang dari Tanah Suci.

"Saya ambil langkah untuk tidak mahu bergaduh, supaya kami selesa untuk berhubung dan berkomunikasi selepas ini.

"Nak bercerai, tidak semestinya kena bergaduh atau buka aib sebab macam mana sekali pun anak-anak tetap perlu dibesarkan bersama-sama," katanya.

Ditanya mengenai pendiriannya yang tidak menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah, Adira berkata, dia enggan menambah beban atau masalah baharu kepada bekas suaminya itu.

"Saya tak nak susahkan dia lagi. Sekarang ini dia tengah 'down'.  Doakan supaya dia dimurahkan rezeki," katanya.

Dalam masa sama, Adira memberitahu, dia bakal memfailkan hak jagaan anak walaupun mereka masih tidak mengetahui mengenai perceraian itu.

"Buat masa sekarang saya tidak halang untuk Datuk Red melawat atau nak bermalam dengan anak-anak. Kami bersetuju dan bersepakat dengan keputusan ini," katanya.

Terdahulu hubungan pasangan sensasi itu akhirnya terlerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada jam 9.39 pagi tadi. 

Lafaz cerai itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Adnan dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Datin Red turut berdepan ujian apabila isteri pertamanya itu juga memfailkan permohonan saman. 

 

Berita berkaitan:

Datuk Red sugul, tak larat jalan selepas sah cerai Adira

Datuk Red, Adira kini sah cerai talak satu

Adira tenang, tetap nekad nak bercerai dengan Datuk Red

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 10:55 AM