Najiy Jefri

Kuang: Hubungan pasangan sensasi Adira Suhaimi, 32, dan Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red 46, akhirnya terlerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor, sebentar tadi.

Lafaz cerai itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 sekali gus mengesahkan lafaz itu adalah mengikut hukum syarak. 

"Bahawa saya Adnan Abu menceraikan Adira Suhaimi dengan talak satu," lafaz Datuk Red. 

Ketika prosiding dijalankan, Datuk Red kelihatan tunduk sayu manakala, Adira kelihatan tenang.

Dalam masa sama, Adira juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah terhadap Datuk Red. 

Sepatutnya hari ini berlangsung pelantikan hakam bagi kedua-dua belah pihak, namun Datuk Red bersetuju untuk melafazkan cerai.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Adnan dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafil turut berdepan ujian apabila isteri pertamanya itu memfailkan permohonan saman. 

Perkongsian hidup bersama Datin Red, mereka mempunyai lima anak.

Sebelum perkahwinan itu, Adnan pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.

Berita berkaitan:

Datuk Red sugul, tak larat jalan selepas sah cerai Adira

Adira tak tuntut nafkah, tak nak susahkan Datuk Red

Adira tenang, tetap nekad nak bercerai dengan Datuk Red

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 10:34 AM