FASHA Sandha. FOTO Faiz Anuar
FASHA Sandha. FOTO Faiz Anuar
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Fasha Sandha, 40, menyifatkan ucapan terima kasih wajar dibudayakan dalam kehidupan pada setiap masa dan apa saja situasi, termasuk menerapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil.

Terdahulu, Fasha didapati berkongsi hantaran di Instagram Story mengenai luahan hatinya yang kesal dengan sikap individu tidak tahu mengucapkan terima kasih dan berharap tegurannya itu disedari pihak terbabit.

"Saya hanya manusia biasa dan terasa ingin meluahkan, itu saja. Ada sesetengah manusia, tak kira rapat ke tidak, bila kita buat kebaikan dan mungkin kerap, jadi kadang-kadang orang kata mereka ambil kesempatan.

"Terlupa ucap terima kasih atau bukan budaya ucap terima kasih. Tapi, saya dari zaman sekolah memang suka cakap terima kasih, cuma tidak sekerap selepas kenal keluarga bekas suami," katanya.

Menurut Fasha, bekas suaminya, Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai itu yang banyak mengajarnya untuk selalu mengucapkan terima kasih dan ia dipraktikkan sampai sekarang.

"Walaupun perkara itu kecil (ucap terima kasih), tapi saya banyak belajar dengan bekas suami. Dia (Jejai) banyak mengajar saya bagaimana etika nak berhadapan dengan orang, diplomatik dengan orang.

"Sekarang, saya juga terapkan ucapan terima kasih sebagai budaya kepada anak-anak. Sama ada Rayfal, Jemyma dan Aisha, mereka mudah mengucapkan terima kasih kepada dalam apa saja situasi.

"Kepada saya, mereka akan cakap terima kasih lebih lima kali dalam sehari. 'Thank you ibu for cooking, 'thank you ibu for today', saya jadi gembira sebab mereka dah biasa dengan ucapan itu," katanya.

Menurut pelakon drama Rampas Cintaku ini, sekiranya ramai ibu bapa dapat membudayakan ucapan berterima kasih dari rumah, anak-anak pasti akan biasa juga dengan perkataan itu.

Fasha berkahwin dengan Jejai pada 2012 dan sah bercerai pada 2016. Mereka dikuniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli, 11; dan Putri Raysha Jemyma, 9.

Dia kemudian bertemu jodoh kali kedua dengan pelakon, Aidil Aziz pada Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Aisha Amaira kini berusia tiga tahun.

Semalam, Fasha ditemui media pada majlis iftar Gardenia Numee & Fasha Sandha di Gardenia Bakeries Shah Alam di sini dengan pelancaran produk Numee terbaharu, Laksa Kari.

Hampir setahun menjadi duta Gardenia Numee, Fasha akui gembira dan bersyukur menjadi salah seorang ahli keluarga Gardenia berikutan dia adalah pengguna setia jenama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 6:46 PM