FASHA Sandha.
FASHA Sandha.
Syafil Syazwan Jefri


JUMLAH 'followers' (pengikut) pelakon Fasha Sandha meningkat sehingga lima juta pada hari kelahiran anaknya yang diberi nama Aisha Amaira Mohd Aidil.

Fasha menerusi Instagram berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada 'followers' dan peminatnya yang sentiasa mendoakan yang baik-baik untuknya.

"Alhamdulillah, ramai yang sayangkan ibu," katanya.

Dalam muat naik sama, Fasha turut menasihatkan golongan ibu supaya tidak berputus asa dan terus berdoa apabila berdepan keguguran seperti yang pernah dialaminya.

"Aisha adalah anak kelima ibu dan ayah. Dua lagi anak ibu dan ayah sudah dalam syurga Allah. Ibu pernah dua kali keguguran sebelum dapat Aisha. Tapi, ibu dan ayah Aisha kuat, tak pernah putus asa. Al-Fatihah untuk kakak dan abang Aisha di syurga.

"Kepada ibu-ibu yang pernah melalui nasib yang sama dengan ibu Aisha, jangan putus asa. Allah itu sebaik-baik perancang," tulisnya.

Fasha juga menulis maksud di sebalik nama anaknya yang membawa erti bahagia dan cantik selamanya.

Fasha juga memuat naik fotonya bersama pengurus artis, Kamisah yang bertanggungjawab menjodohkannya dengan suami dan sentiasa ada dengannya sehingga Aisha dilahirkan.

Aisha dilahirkan pada 7 Ogos lalu hasil perkahwinan Fasha dengan Aidil yang diijabkabulkan pada 30 Mac tahun lalu. Ia adalah perkahwinan kedua Fasha selepas berpisah dengan bekas suami, Jejai.

Menerusi perkahwinan pertama Fasha, dia mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal Ramli, 7; dan Putri Raysha Jemyma, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 5:31 PM