Majlis persandingan Fasha Sandha dan Aidil Aziz di Kota hari ini. FOTO Hasriyashah Sabudin
Majlis persandingan Fasha Sandha dan Aidil Aziz di Kota hari ini. FOTO Hasriyashah Sabudin
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“SAYA begitu teruja apabila dipanggil ayah dan berharap Fasha membantu dalam rumah tangga ini,” kata pelakon, Mohd Aidil Aziz, 32, ketika ditemui pada majlis persandingannya bersama Fasha Sandha, 35, di Kampung Tanah Datar Gancong, Kota, Rembau hari ini.

Pelakon filem Kanang Anak Langkau The Iban Warrior itu berkata, anak-anak Fasha iaitu Putra Rayfal Rizal, 4, dan Putri Raysha Jemyma, 3, sudah memanggilnya ayah dan ia sesuatu yang baru dalam hidupnya.

“Sebelum ini saya bujang dan Fasha memiliki pengalaman berkahwin. Saya berharap dengan pengalamannya membantu rumah tangga kami,” katanya.

Mohd Aidil pada masa sama menzahirkan penghargaan terhadap bekas suami Fasha iaitu Rizal Ashram Ramli atau Jejai atas ucapan tahniah menerusi laman sosial baru-baru ini.

“Amanah Jejai supaya saya menjaga anak-anaknya dengan baik akan cuba ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, InsyaAllah,” katanya yang pernah bertemu Jejai tiga kali sebelum ini.

Mengenai anak, Mohd Aidil berkata, dia mahu memiliki tiga anak sendiri sebelum isterinya menyapa ‘boleh’.

Mohd Aidil berkata, majlis persandingannya berjalan lancar dengan kehadiran 6,000 jemputan membabitkan ahli keluarga, saudara mara, penduduk kampung dan rakan artis antaranya Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash dan ramai lagi.

“Sebenarnya jemputan hanya 3,000 tetamu dan melebihi jangkaan. Alhamdulillah makanan mencukupi dan tetamu tidak pulang dengan perut kosong,” katanya.

Sementara itu Fasha bersyukur ahli keluarga suami dapat menerimanya sebagai menantu termasuk dua anaknya.

“Dalam majlis ini, saya rasa sedikit kelainan mengikut adat dan budaya Negeri Sembilan,” katanya.

Katanya, dia bersyukur dua majlis yang dianjurkan berjalan lancar dengan persandingan di Perlis dibuat tertutup membabitkan ahli keluarga terdekat saja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 4:53 PM