FASHA (kanan) sebelum melahirkan anak ketiganya (kiri). FOTO Instagram Aidil Aziz
FASHA (kanan) sebelum melahirkan anak ketiganya (kiri). FOTO Instagram Aidil Aziz
Norhayati Nordin

 

PELAKON Fasha Sandha selamat melahirkan anak ketiga yang juga bayi perempuan, hasil perkahwinannya dengan suami iaitu pelakon Aidil Aziz.

Berita gembira itu dikongsikan Aidil dalam Instagram berserta sekeping foto bayi mereka yang digelar 'Baby A'  ketika ini.

Aidil yang teruja bergelar bapa mengakui sangat bersyukur kerana anaknya dilahirkan sihat dan selamat.

"Alhamdulilah, 'Baby A' selamat dilahirkan. Syukur, ya Allah. Alhamdulillah di atas rezeki ini.

"Terima kasih isteriku. Saya akan bercuti selama sebulan untuk jaga dan teman awak berpantang," katanya.

Aidil turut mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang tidak putus-putus mendoakan isteri, anak dan keluarganya.

Semalam, Aidil berkongsi foto Fasha sudah dimasukkan ke hospital untuk menunggu proses kelahiran.

Rata-rata warganet memuji penampilan Fasha yang tetap menjaga aurat dengan memakai tudung.

Kini, 'Baby A' pasangan ini juga dipuji comel oleh kebanyakan warganet yang juga pengikut Instagram Aidil.

Terdahulu, Fasha pernah mengalami keguguran sebanyak dua kali sebelum 'Baby A' dilahirkan.

Aidil dan Fasha bernikah pada 30 Mac tahun lalu. Ia adalah perkahwinan kedua Fasha selepas berpisah dengan bekas suami, Jejai.

Menerusi perkahwinan pertama Fasha, dia  mempunyai dua orang anak iaitu Putra Rayfal Ramli, 7;  dan Putri Raysha Jemyma, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:23 PM