PETALING JAYA 06 MAC 2024. Penyanyi, Aina Abdul. FOTO NSTP
PETALING JAYA 06 MAC 2024. Penyanyi, Aina Abdul. FOTO NSTP
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul berbesar hati ditawarkan membuka pentas persembahan bagi Konsert Ailee - I AM:HERE yang bakal berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 22 Jun depan.

Aina berkongsi, tawaran berkenaan menceriakan harinya yang sugul sekali gus menyuntik keterujaan apabila diberi kepercayaan membuat persembahan pembukaan konsert pelantun suara asal Amerika Syarikat (AS) itu.

"Pada hari berkenaan, saya baru saja melalui mesyuarat yang sangat 'intense'. Disebalik tekanan yang timbul, saya dapat juga perkhabaran yang kurang baik berhubung kerjaya seni saya. Berita itu membuatkan saya mengalirkan air mata.

"Hendak dijadikan cerita, sejurus selepas itu pengurus saya dapat panggilan daripada penganjur. Saya diberitahu yang saya dipilih untuk menjadi penyanyi persembahan pembuka bagi konsert Ailee nanti," kata Aina.

Berkongsi lanjut mengenai konsert yang bakal dijayakannya itu, Aina yang masih tidak sangka diberi peluang sebegitu berkata, dia meminati penyanyi itu sudah sekian lama.

Tambah Aina, minat mula timbul sejak Ailee mula 'tular' selepas menyanyikan lagu Halo dendangan asal Beyonce.

"Walaupun saya tidak pernah jumpa dia, tapi bila dengar nyanyian dia dan kepayahan hidupnya terasa seperti dia 'big sister'.

"Banyak teknik nyanyian saya belajar daripada Ailee. Saya selalu juga menonton persembahannya di Youtube. Pendek kata, saya peminat dia," katanya.

Dalam pada itu, Aina memberitahu yang pihak penganjur masih belum menentukan jumlah lagu yang bakal dinyanyikan olehnya kelak.

"Untuk Ailee, saya akan datang 'simple' dan penampilan ringkas sahaja. Saya mewakili peminat Ailee di seluruh Malaysia nak sambut kedatangan dia ke sini.

"Maklumlah, ini merupakan kali pertama Ailee buat persembahan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 4:03 PM