TERUJA, terharu apabila terpilih jayakan konsert pada 12 Februari depan
TERUJA, terharu apabila terpilih jayakan konsert pada 12 Februari depan
Sudirman Mohd Tahir

KONSERT sulung penyanyi Khai Bahar yang sepatutnya berlangsung pada Mac tahun lalu dibatalkan selepas ia tertunda lebih setahun ekoran penularan wabak Covid-19 selain aktiviti persembahan dan konsert tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita pembatalan konsert yang sepatutnya diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sedikit sebanyak mengundang kesedihan penyanyi yang mencipta nama menerusi aplikasi Smule itu.

Apatah lagi, kebanyakan peminat sudah teruja untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka beraksi di pentas ternama itu.

Namun, kekecewaan itu bakal terubat apabila Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin kembali menjayakan Konsert Nafas Cinta Khai Bahar pada 12 Februari depan.

Konsert anjuran syarikat Nova Music itu bakal diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), pusat beli belah 1 Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Khai yang popular menerusi lagu Bayang, Dari Jauh Saja, Luluh dan banyak lagi berkata, dia teruja serta terharu apabila pihak Nova Music memilihnya untuk menjayakan konsert itu.

"Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya ia satu peluang keemasan. Namun, perancangan Allah SWT itu lebih baik. Saya menganggap belum ada rezeki untuk buat konsert apabila ia terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa-apa pun saya memandang ia daripada sudut positif.

"Saya juga percaya setiap apa yang terjadi itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, saya mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsert saya. Kata pepatah, 'kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan'. Pelawaan itu saya anggap rezeki buat saya. Selepas membuat perbincangan, pasukan saya bersetuju membuat konsert Nafas Cinta Khai Bahar ini," katanya.

Menurut Khai yang juga pemenang tiga kali kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), penganjuran konsert itu dapat mengubat kerinduan dan kekecewaan peminatnya.

"Diakui ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan. Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi macam mana, sebab saya sendiri juga sedih. Macam dikatakan, saya anggap ia belum rezeki.

"Namun, kehadiran ini saya harap dapat mengubat kesedihan mereka. Saya bersama pasukan dan pihak penganjur akan cuba memberikan yang terbaik. Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan persembahan berskala besar tercapai.

"Tipulah jika dalam kerjaya seseorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni. Begitu juga saya yang mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah SWT," katanya.

AINA dan Adira Suhaimi menjadi penyanyi jemputan.
AINA dan Adira Suhaimi menjadi penyanyi jemputan.

Pilihan tepat

Penerbit dan penganjur konsert, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Khai adalah tepat kerana penyanyi itu mempunyai kekuatan peminat luar biasa selain banyak menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music.

"Kenapa Khai? Ini kerana dia antara penyanyi muda yang banyak lagu popular dan berjaya selain mempunyai peminat yang ramai. Kalau kita sebut nama Khai Bahar, memang cukup dikenali. Dia mempunyai kelompok peminat daripada semua golongan dan peringkat umur. Selain itu, dia antara penyanyi yang bersih daripada sebarang kontroversi," katanya.

Ditanya adakah penganjuran Konsert Nafas Cinta Khai Bahar itu disebabkan pembatalan konsert Khai terdahulu, Rosmin berkata, ia berlaku secara kebetulan.

"Itu bukan punca kami buat konsert ini. Tak terfikir pun perkara itu. Cuma, kami berasakan sudah sampai waktunya kami menganjurkan konsert berskala besar. Lagipun, aktiviti persembahan pentas dan konsert kini sudah pun dibenarkan berlangsung. Orang ramai pun dahagakan hiburan persembahan secara langsung. Jadi, tidak salah kami mengorak langkah ini.

"Kami berasakan dia penyanyi yang tepat untuk buat konsert ini. Perancangan buat konsert ini pun secara kebetulan pada Oktober lalu. Selepas kami berjumpa dan berbincang dengan pasukan Khai, alhamdullah, mereka terima pelawaan kami," katanya.

Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bakal diadakan secara hibrid fizikal dan 'virtual live'. Ini membolehkan bukan saja peminat Khai Bahar dari kawasan Lembah Klang untuk menonton konsert ini malah peminat dari seluruh Malaysia dan rantau Asia.

Selain Khai, konsert ini menampilkan pemenang tempat kedua AJL 35, Aina Abdul dan 'ratu soundtrack', Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Tiket konsert secara fizikal sudah mula dijual sejak kelmarin dengan harga RM189.90 di ONETIX dengan melayari https://onetix.com.my/ manakala tiket tontonan konsert secara virtual yang dijual dengan harga RM69.90 mula dibuka sejak 31 Disember sehingga 13 Januari 2022, RM79.90 (14- 27 Januari) dan RM89.90 (28 Januari hingga 11 Februari) dengan melayari https://www.cloudtheatre.com/my/ .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 6:00 AM