Fizi Ali (kanan) bersama isteri Siti Zulaiikha (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi perbicaraan kes Hadanah. FOTO FAIZ ANUAR
Fizi Ali (kanan) bersama isteri Siti Zulaiikha (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi perbicaraan kes Hadanah. FOTO FAIZ ANUAR
Ramlah Zainal

 

Shah Alam: "Saya harap nak selesai cara baik hari ini kerana saya cuma nak Ameena dapat kasih sayang emak dan bapanya," kata penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 37.

 Fizi berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah untuk sebutan pertama kes hadanah di hadapan pendaftar di sini jam 9.20 pagi ini.

Fizi juga hadir ditemani isterinya, Siti Zulaikha dan peguamnya, Nur Husniah Husin.

Menurut Fizi atau nama sebenar, Mohd Hafizudin Alimudin, dia juga optimis kes hadanah berkenaan dapat mencapai kata positif membabitkan kedua belah pihak.

Manakala, bekas isterinya, Shakila Khoriri, 35, sampai di mahkamah dengan ditemani peguamnya pada jam 9.25 pagi. 

Diminta komen Shakila pula, dia tidak mahu memberi sebarang kenyataan berhubung kes itu dan hanya mengadu tidak cukup tidur.

"Saya okay cuma tak cukup tidur," katanya yang turut ditemani peguamnya.

Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Pada bulan lalu, Fizi memfailkan kes hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kerana Shakila enggan membenarkan dia bertemu anaknya.

 Fizi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shakilla Khoriri pada 18 Februari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.      

 Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Ameena Sofia, 5 tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 11:00 AM