FIZI Ali hadir bersama isteri, Siti Zulaikha selepas sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
FIZI Ali hadir bersama isteri, Siti Zulaikha selepas sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


Shah Alam:  Kes tuntutan hadanah yang difailkan penyampai radio Hot FM, Fizi Ali, 37, terhadap bekas isterinya, pelakon Shakilla Khoriri, 35, berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka, Nur Ameena Sofia, 5, gagal mencapai kata sepakat membabitkan kedua belah pihak.

Menurut peguam syarie yang mewakili Fizi, Nurhusniah Husin, kes hadanah itu akan diteruskan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 22 Februari depan.

"Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini bagi pengurusan kes seterusnya," kata peguam syarie itu ketika ditemui selepas prosiding kes sulh membabitkan tuntutan hadanah yang difailkan Fizi membabitkan hak penjagaan anak perempuannya, Ameena.

Prosiding Sulh ialah suatu perundingan dan perbincangan di antara pihak-pihak di hadapan pegawai berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap satu atau beberapa tuntutan di Mahkamah Syariah.

Untuk rekod , Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin, 37, selaku plaintif memfailkan tuntutan hadanah kekal itu pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakilla sebagai defendan.

Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Sebelum prosiding Sulh bermula, Fizi memberitahu tindakannya memfailkan hadanah bukan untuk berebut anak, sebaliknya hanya mahukan Ameena mendapat kasih sayang sempurna.

Terdahulu, Fizi meluahkan rasa kesal apabila hasratnya untuk berjumpa Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.

Kata Fizi, dia menunggu Ameena untuk tampil membuat persembahan di majlis konvokesyen itu, namun kelibat anaknya tiada.

Sebelum itu, Fizi juga memuat naik hantaran dalam Instagram meluahkan rasa rindu terhadap anaknya sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

Untuk rekod, Fizi dan Shakilla berkahwin  pada 18 Januari 2018 namun,  mengumumkan penceraian pada Disember 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 4:27 PM