PERHIMPUNAN #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu berlangsung Jumaat lalu. FOTO Mohd Adam Arinin.
PERHIMPUNAN #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu berlangsung Jumaat lalu. FOTO Mohd Adam Arinin.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Penganjur Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah yang berlangsung di hadapan Menara Kinabalu, di sini, Jumaat lalu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ketika ini pihaknya sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan, kita akan teliti terlebih dahulu dan akan memanggil penganjur, mungkin dalam sehari dua ini kertas siasatan akan disiapkan," katanya ditemui media pada Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita IPD Kota Kinabalu di Dataran Deasoka, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, sembilan individu yang ditahan selepas menyertai perhimpunan anjuran sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah masih direman seminggu.

Kasim berkata, seorang daripadanya adalah guru sekolah alternatif yang disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana membawa orang tanpa dokumen.

"Lapan orang lagi adalah individu yang tiada dokumen sah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Semalam, koordinator sekretariat perhimpunan itu, Mohd Norhamdin Nordin mendakwa sembilan yang ditahan polis masing-masing seorang guru dan lapan pelajar sekolah alternatif Teluk Layang, di sini yang berstatus penduduk tanpa negara atau 'stateless'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 4:54 PM