ANTARA daun ketum, cecair dan peralatan yang ditemui di dalam rumah di Kota Tinggi. FOTO Ihsan Polis.
ANTARA daun ketum, cecair dan peralatan yang ditemui di dalam rumah di Kota Tinggi. FOTO Ihsan Polis.
Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Serbuan polis di sebuah rumah pusaka di sini, semalam menemukan dua senapang angin dan 62 peluru penabur selain peralatan memproses air ketum.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam serbuan 9.30 malam itu, dua lelaki berusia lingkuangan 30-an ditahan.

Katanya, pihaknya turut menjumpai 133 plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum dan 225 plastik mengandungi daun ketum.

"Hasil siasatan, kita percayai rumah pusaka itu dijadikan tempat untuk memasak air ketum. Nilai keseluruhan rampasan berkaitan ketum dianggar RM6,630," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hussin berkata, pihaknya masih menyiasat tujuan utama suspek memiliki senapang angin itu,

Katanya, seorang daripada suspek direman 14 hari, manakala seorang lagi dilepas dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(A) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 4:35 PM