Fizi Ali hadir isteri, Siti Zulaikha selepas sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Fizi Ali hadir isteri, Siti Zulaikha selepas sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal

 

Shah Alam: "Tiada isu tentang campur tangan orang ketiga kerana saya tidak pernah masuk campur urusan Fizi dan Shakilla, " kata isteri  penyampai radio Hot FM, Fizi Ali iaitu Siti Zulaikha, 31. 

Siti Zulaikha berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan dirinya yang dikatakan mencampuri urusan kemelut suami dan bekas isterinya, pelakon Shakilla Khoriri, 35.

Menurut Zulaikha, dia tidak mahu mencampuri kemelut berkaitan anak membabitkan  Fizi dan Shakilla kerana itu adalah hal peribadi mereka. 

Katanya, dia meminta pelakon itu tampil dengan bukti sekiranya mendakwa dirinya adalah orang ketiga yang mencampuri urusan hak penjagaan anak mereka iaitu Ameena Sofea, 5.

"Rasanya tak ada isu kalau dia cakap saya sebagai orang ketiga yang masuk campur dalam masalah mereka. 

"Kalau ada bukti minta dia (Shakilla) keluarkan saja bukti itu," katanya ketika ditemui Harian Metro  pada perbincangan sulh berhubung tuntutan hak penjagaan anak Fizi dan Shakilla di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kata Zulaikha, dia hanya membalas sekali saja mesej yang dihantar Shakilla kepada Fizi disebabkan pelakon itu mula mengaitkan namanya dalam kemelut mereka. 

Kata Zulaikha, pihaknya dan Fizi turut mempunyai bukti untuk dikemukakan bagi menafikan dakwaan campur tangan seperti yang didakwa Shakilla. 

"Pernah sekali saja saya membalas mesej Shakilla, itu pun disebabkan dia yang mula petik nama saya. 

"Kalau Shakilla kata dia ada bukti, pihak kami pun ada bukti juga," katanya.

Sementara itu, ditanya keadaan Fizi, kata Zulaikha, emosi suaminya agak terganggu disebabkan tidak dapat bertemu dengan anaknya itu. 

"Kalau berkait dengan Ameena memang saya nampak emosi Fizi sangat terganggu, tapi saya sentiasa berada di sisinya. 

"Fizi juga rapat dengan Ameena dan ini adalah tempoh paling lama dia tidak dapat bertemu  dengan anaknya," katanya. 

Terdahulu, Shakilla memberitahu dia menyekat nombor telefon Fizi atau nama sebenar, Mohd Hafizudin Alimudin, 37, kerana tidak mahu berkomunikasi dengan isterinya iaitu Zulaikha yang didakwa campur tangan terhadap penjagaan anak mereka, Ameena. 

Menurut Shakilla, dia menyekat nombor telefon Fizi kerana tidak berminat untuk berkomunikasi dengan orang ketiga. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 2:25 PM