Tiko dan BCL berkahwin di Bali semalam
Tiko dan BCL berkahwin di Bali semalam
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pernikahan kali kedua penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, 40, dengan suaminya, Tiko Aryawardhana, 43, semalam, masih menjadi bualan hangat pada kalangan warga maya di negara ini.

Ia berikutan hantaran video dimuatnaik BCL di akuan Instagram miliknya bersempena majlis pernikahan itu turut memperlihatkan kehadiran ibu bapa dan adik-beradik keluarga arwah suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair.

Ia mengundang sebak dan menyentuh hati kebanyakan netizen apabila melihat bapa Ashraf iaitu Mohamed Anthony John Sinclair dan ibunya, Khadijah Abdul Rahman memeluk serta mencium Tiko selepas majlis pernikahan itu.

Kehadiran pengacara Aishah Sinclair dan adiknya, Adam Sinclair serta isteri iaitu penyanyi Yuna dianggap melengkapkan 'hari bahagia' BCL bersama suami, Tiko yang selamat disatukan pada majlis berlangsung di sebuah 'resort' mewah di Bali, Indonesia.

Aishah menerusi Instagram Story berkongsi paparan hantaran video BCL dengan ucapan tahniah kepada bekas kakak iparnya itu dan juga suami.

"Congratulations (tahniah) @itsmebcl dan @tikotiki, " tulisnya ringkas.

Begitu juga Yuna didapati berkongsi beberapa foto solonya pada majlis itu dengan menggayakan busana wanita jawa, termasuk gambar berdua bersama suami, Adam.

Kemeriahan perkahwinan BCL dan Tiko yang juga ahli perniagaan itu direstui ramai dan banyak ucapan doa dititipkan buat pasangan ini, termasuk doa untuk Allahyarham Ashraf serta keluarganya yang terus mengekalkan hubungan baik dan rapat itu.

"Bagusnya keluarga mentua macam ni. Untung BCL, Al-Fatihah untuk arwah Ashraf," tulis netizen.

"Al Fatihah Ashraf Sinclair. Selamat pengantin baru Bunga Citra Lestari dan suami," komen warganet.

"Meriahnya majlis kahwin BCL. Ibu bapa Ashraf dan adik-beradik semua hadir. Tahniah dan semoga bahagia," ucap netizen.

Terdahulu, BCL dan Tiko yang sebelum ini berstatus duda tiga anak dinikahkan sendiri oleh bapanya, Muchlis.

Difahamkan Tiko bercerai dengan bekas isterinya pada 2021 lalu.

BCL yang popular dengan lagu Cinta Sejati sudah bergelar ibu tunggal seorang anak, Noah Aidan Sinclair, 12, sejak tiga tahun lalu apabila suaminya, Ashraf yang dinikahi pada 2008, meninggal dunia ketika tidur akibat serangan jantung pada 18 Februari 2020 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 3:09 PM